Selasa, 2 Julai 2019 | 6:49pm
Fauzi dan Lisdawati memberi tempoh sehingga 31 Ogos depan untuk wanita yang didakwa melarikan wang pelaburan mereka bersemuka. Foto IG Lisdawati

'Kalau nak 'merdeka', datang semuka'

KUALA LUMPUR: Sudah cakap, tapi terus senyap.

Pasangan selebriti, Fauzi Nawawi dan Lisdawati tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita yang didakwa tidak melangsaikan hutang, biarpun pendedahan mengenainya sudah dibuat.

Fauzi berkata, sehingga hari ini, wanita yang didakwa melarikan diri selepas menerima sejumlah wang untuk tujuan pelaburan daripada Lisdawati, terus senyap.

“Kami akan cari sampai ke rumahnya, tapi dia sudah tidak menetap di situ lagi.

“Sebenarnya, kami masih berhati perut, mungkin dia sedang menghadapi masalah keluarga atau suami, siapa tahu.

“Kami masih memberi peluang kepada wanita terbabit sehingga 31 Ogos depan. Jadi, sila tampil kalau kamu hendak ‘merdeka’,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Lisdawati atau nama penuhnya, Nisdawati Nazaruddin, 41, berkongsi luahan di Instagram (IG) meminta sesiapa yang mengenali wanita terbabit menghubunginya.

Pelakon itu memuat naik foto dan salinan MyKad individu terbabit, mendakwa dia menghilangkan diri selepas menerima sejumlah wang untuk tujuan pelaburan, sejak dua tahun lalu.

Fauzi berkata, dia dan isteri tidak mungkin berdiam diri kerana tindakan itu memberi peluang kepada individu lain mengambil kesempatan sama terhadap artis.

“Untuk mengelak orang macam saya ditipu lagi, memang perlu ambil tindakan. Jika tidak, ramai yang akan ambil peluang mengenakan artis lain.

“Bayangkan, jika saya buat senyap saja, wanita terbabit atau individu lain tidak akan mengambil kes ini sebagai suatu pengajaran,” katanya.

Lisdawati mendirikan rumah tangga dengan Fauzi pada 2007.

Berita Harian X