Khamis, 4 Julai 2019 | 1:00pm
PELAKON, Tya Arifin, sedia menimbang tawaran lakonan yang dirasakan sesuai dengan dirinya. - NSTP/Azhar Ramli

Tya masih teringin berlakon

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Tya Arifin, 24, mengakui kerinduan untuk beraksi di depan kamera tidak pernah terhakis dalam dirinya.

Bahkan, menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza itu sentiasa terbuka untuk menerima tawaran lakonan yang dirasakan sesuai dengan statusnya sekarang.

“Suami saya sendiri tidak pernah menghalang jika saya ingin meneruskan minat dalam lakonan. Cuma, tentunya saya perlu meminta keizinannya terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

“Banyak faktor perlu diambil kira sebelum saya menerima sebarang tawaran kerana saya kini menjadi ibu kepada dua cahaya mata. Dalam situasi sekarang, saya perlu memikirkan pelbagai perkara, bukan keutamaan diri semata-mata,” katanya.

Pelakon dari Palembang, Indonesia itu berkahwin dengan Asyraf Khalid pada 1 November 2015 dan dikurniakan dua anak, Arif Jiwa, 2, dan Azzahra Jiwa yang dilahirkan pada 9 Mei lalu.

TYA bersama suami, Asyraf Khalid, dan dua permata hati mereka. - Foto IG Tya Arifin

Tya yang kali akhir muncul dengan filem Preman Pensiun di Indonesia, September tahun lalu, berkata demikian ketika ditemui sewaktu menghadiri majlis pelancaran produk keluaran teman seperjuangan, Kilafairy, Kilafit di sini.

Menyentuh pengalamannya menjadi ibu buat kali kedua, Tya yang turut mengusahakan perniagaan jamu berkata, dia cukup seronok dengan kehadiran Azzahra dalam keluarga kecilnya.

"Saya berasa bersyukur dan gembira kerana bilangan ahli keluarga kini sudah bertambah. Arif pun seronok kerana sekarang dia mempunyai kawan baharu. Sebelum ini dia ada Siti Aafiyah, sekarang adiknya pula.

"Kehidupan saya juga boleh dianggap lengkap apabila mempunyai sepasang anak, lelaki dan perempuan," katanya yang mula berlakon pada usia 18 tahun.

Berita Harian X