Khamis, 4 Julai 2019 | 5:15pm
IZZUE enggan bertangguh lagi menjalani ujian kesuburan sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat. Foto Aziah Azmee

Izzue Islam sedia jalani ujian kesuburan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam berhasrat menjalani ujian kesuburan, akhir tahun ini sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, berkata, kekangan masa ekoran jadual kerja yang padat, sebelum ini membantutkan hasratnya dan isteri, Awin Nurin mendapatkan pandangan pakar.

Katanya, usaha itu diambil bagi mengenal pasti masalah dialami selepas enam tahun mereka menanti kehadiran zuriat untuk menyerikan lagi rumah tangga,

“Lagipun, umur masing-masing semakin meningkat, jadi kami wajar mengenal pasti masalah sebenar untuk mencari jalan penyelesaian.

“Sebenarnya, sejak awal tahun lagi, saya sudah merancang bertemu doktor dan menjalani ujian kesuburan, cuma belum berkesempatan kerana terlalu sibuk.

“Namun, saya dan isteri perlu juga mencari masa kerana tidak mahu menangguhkan lagi perkara ini. Memandangkan Awin bertindak sebagai pengurus, saya akan berbincang dengannya supaya dapat mengosongkan jadual kerja menjelang akhir tahun ini.

“Tidak salah kami berikhtiar kerana siapa yang tidak mahu anak? Cuma, rezeki kami untuk menimang cahaya mata masih belum berpihak,” katanya.

Izzue yang juga bekas anggota kumpulan Forteen, mendirikan rumah tangga dengan Awin pada 2 Jun 2013.

Pelakon drama 30 Pesanan Suara itu itu ditemui pada majlis sidang media Konsert Hora Horey siri animasi kanak-kanak popular, Didi & Friends yang bakal diadakan bermula 15 hingga 18 Ogos depan.

Baru-baru ini, perkongsian Izzue dan Awin yang memuat naik foto bersama seorang bayi di laman sosial mengundang reaksi pelbagai pihak. Selain peminat, teman selebriti turut mendoakan pasangan itu beroleh rezeki memiliki cahaya mata.

Selain doa, pasangan itu juga disaran supaya menjalani rawatan alternatif sebagai ikhtiar mendapatkan zuriat.

“Alhamdulillah, setakat ini, belum ada pihak yang tidak berpuas hati setiap kali saya dan isteri bermain dengan anak mereka. Namun, bagi mengelak perasaan kurang selesa ibu bapa, saya perlu minta izin sebelum menyentuh bayi mereka,” katanya.

Berita Harian X