Isnin, 8 Julai 2019 | 11:00am
BIARPUN tubuhnya tidak lagi sekuat dahulu, Hail Amir masih mampu memenuhi undangan persembahan. Foto Mahzir Mat Isa
BIARPUN tubuhnya tidak lagi sekuat dahulu, Hail Amir masih mampu memenuhi undangan persembahan. Foto Mahzir Mat Isa

Hail Amir sanggup lawan sakit demi peminat

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa berkerusi roda dan melawan kesakitan, jiwa sebagai penghibur tidak pernah mati dalam diari hidup penyanyi dan pelakon Hail Amir.

Penyanyi berusia 63 tahun itu berkata, meskipun tubuhnya tidak lagi sekuat dahulu, terutama selepas mendapat serangan jantung, tahun lalu, semangatnya kembali membara setiap kali naik pentas.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia kembali menerima undangan menyanyi sejak lima bulan lalu, malah pernah menggagahkan diri membuat persembahan atas kerusi roda kerana tidak mahu menghampakan permintaan peminat.

“Pada bulan puasa lalu, saya sempat memenuhi undangan nyanyian di Singapura dan sekali lagi ke sana untuk majlis sambutan hari raya bersama peminat, baru-baru ini.

“Setakat menyanyi, saya masih mampu membawakan lima lagu tanpa masalah. Saya rasa 'hidup' dan bersemangat apabila kembali menyanyi,” katanya.

Hail berkata, dia bernasib baik kerana suaranya tidak terjejas apabila jatuh sakit, malah gembira masih mampu menghiburkan peminat yang merindui kehadirannya.

“Selagi kesihatan mengizinkan, saya mahu menyanyi hingga hujung nyawa. Menyanyi sudah menjadi darah daging saya sejak lebih 44 tahun lalu.

“Mana mungkin saya meninggalkan dunia nyanyian yang sudah sebati dengan diri. Tidak menyanyi membuatkan saya lebih sakit,” katanya.

Hail bagaimanapun berkata, dunia lakonan sudah lama ditinggalkan selepas kali terakhir membintangi filem Anita Dunia Ajaib pada 1982.

“Bukan tidak minat, tetapi masa tidak mengizinkan saya untuk berlakon. Lakonan memerlukan masa yang panjang, sedangkan dahulu, saya sibuk memenuhi undangan nyanyian.

“Biarpun masih menyanyi, saya tidak berhasrat merakamkan lagu baharu, apatah lagi pada usia begini. Cukuplah saya menghiburkan peminat dengan deretan lagu popular.

“Permintaan terhadap lagu lama masih banyak. Jika saya merakamkan lagu baharu, saya tetap kena menyanyikan lagu lama yang popular,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Berita Harian X