Isnin, 8 Julai 2019 | 2:41pm
MIRA tidak pernah jemu menggali ilmu untuk memantapkan diri sebagai pelakon. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Mira berguru dengan dua Fauziah

KUALA LUMPUR: Tidak pernah berhenti memantapkan mutu lakonan, Mira Filzah sanggup mencari masa berguru dengan pelakon berpengalaman seperti Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud.

Mira berkata, inisiatif itu diambil selepas melihat ramai anak seni berbakat besar yang tidak jemu belajar dan menggali ilmu dalam usaha menjadi pelakon yang baik.

“Setiap kali sebelum memulakan penggambaran, terutama membabitkan watak berat, saya akan cari guru supaya dapat memahami karakter dengan lebih baik.

“Memang sesetengah produksi menyediakan guru lakonan, tetapi sebagai pelakon, kita juga seharusnya mengambil inisiatif jika mahu lakonan diingati ramai.

“Lakonan saya masih banyak kekurangan dan saya takut tidak mampu memenuhi kehendak pengarah, namun asas pembelajaran daripada individu berpengalaman menambah keyakinan,” katanya.

Mira berkata, meskipun sesi yang dihadiri singkat, kelas atau bengkel lakonan bersama dua guru berpengalaman itu sangat membantu ketika di lokasi penggambaran.

Dalam perkembangan lain, Mira berkata, dia berdebar menanti kehadiran filem terbarunya, Sangkar yang bakal menemui penonton bermula 29 Ogos ini.

Mira berkata, watak Liya iaitu adik kepada Johan lakonan Remy Ishak dalam filem yang mengetengahkan sukan Mix Martial Art atau MMA turut menyaksikan gandingan pertama mereka di layar lebar.

“Memang saya tidak membawakan babak lasak, namun saya perlu bersedia dari segi emosi dan mental kerana watak Liya turut mempunyai cabaran tersendiri.

“Tambahan pula, bergandingan kali pertama dengan pelakon berpengalaman seperti Remy dan Zul Ariffin, saya perlu pastikan diri benar-benar bersedia sebelum memasuki set dengan memasuki kelas lakonan,” katanya.

Sangkar arahan Kabir Bhatia menggabungkan empat produksi iaitu Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

Berita Harian X