Selasa, 9 Julai 2019 | 1:00pm
Amar dan Amyra mengaku perlu berhati-hati dalam menghidupkan watak sebagai suami isteri dalam drama Cemburu Seorang Perempuan yang akan memulakan penggambaran, bulan hadapan. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad
Amar dan Amyra mengaku perlu berhati-hati dalam menghidupkan watak sebagai suami isteri dalam drama Cemburu Seorang Perempuan yang akan memulakan penggambaran, bulan hadapan. Foto NSTP Khairul Azhar Ahmad

Amar, Amyra letak syarat jadi suami isteri dalam drama

KUALA LUMPUR: Setuju digandingkan sebagai pasangan berkahwin dalam drama, Amar Baharin dan isterinya, Amyra Rosli meletakkan beberapa syarat kepada produksi demi menjaga keharmonian rumah tangga.

Menghidupkan watak suami yang mengamalkan poligami dalam drama berkenaan, Amar memastikan tiada dialog dalam karya terbabit boleh memberi kesan negatif kepada hubungan mereka sebagai suami isteri.

Amar mengaku mahu berwaspada dalam melakonkan watak suami yang berhadapan isteri yang mengalami masalah mental.

“Kami sebolehnya cuba mengelak daripada digandingkan dalam projek drama atau telefilem. Ini kerana sukar menjayakan watak suami isteri

“Pastinya kami terbatas untuk melontarkan dialog yang tidak memberi kesan negatif kepada rumah tangga.

“Misalnya, istilah cerai, talak dan sebagainya harus dititikberatkan. Selepas berbincang, saya dan Amyra mencapai kata sepakat untuk menerima tawaran ini tetapi meletakkan beberapa syarat,” katanya kepada BH Online.

Amar berkata, naskhah dalam drama itu sangat menarik dan rugi untuk dilepaskan.

“Berikutan itu, kami meminta nasihat pengarah dan penerbit sebelum penggambaran bermula,” katanya.

Amar dan Amyra digandingkan dalam drama berjudul Cemburu Seorang Perempuan arahan Eyra Rahman. Penggambaran drama ini dijangka bermula, bulan hadapan.

Mengulas mengenai pengumuman kehamilan isterinya dalam media sosial, minggu lalu, Amar mengaku teruja berkongsi berita baik itu kepada umum.

“Saya tidak fikir terlalu awal pengumuman itu dibuat. Ini kerana Amyra sudah hamil lapan minggu, ketika itu.

“Bukan apa, sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-34, saya anggap ia adalah masa sesuai. Ini adalah hadiah buat peminat,” katanya.

Amar dan Amyra mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan anak sulung, Aqeef Anaqi pada 15 Oktober 2017.

Berita Harian X