Rabu, 10 Julai 2019 | 5:35pm
CIPTA dua rekod baharu MBOR, Soo Wincci terpaksa menempuh laluan getir sebelum meraih kejayaan. Foto IG Soo Wincci

Soo Wincci redah laluan perit untuk berjaya

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan menggenggam lima ijazah, pelakon dan model Dr Soo Wincci, mengakui keputusan merantau ke Valencia, Sepanyol untuk menimba ilmu sejak dua tahun lalu bukan sesuatu yang mudah.

Wincci berkata, semua kekalutan dan pergelutan itu berakhir dengan kemanisan apabila menggenggam ijazah Pasca Sarjana Fellowship dari Berklee College of Music, Valencia, baru-baru ini.

Pencapaian itu turut melayakkan Wincci memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan menambah dua rekod baharu iaitu Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak.

“Keputusan untuk ke Sepanyol pernah ditentang keluarga. Malah, kerana terlalu marah, bapa halau saya keluar rumah kerana bimbang keputusan saya itu menambahkan lagi beban hutang.

“Apabila sibuk dengan pelajaran, perniagaan yang saya usahakan di tanah air tidak dapat diteruskan. Saya hilang sumber pendapatan dan pernah pada suatu ketika, saya hanya ada 1 Euro RM4.64) di tangan.

“Mahu atau tidak, saya perlu gandakan usaha dengan belajar untuk mendapat biasiswa. Saya terpaksa tolak tawaran drama dan ada yang menganggap, saya bodoh kerana melepaskan peluang depan mata. Banyak yang berlaku hingga saya hampir berputus asa,” katanya.

Wincci berkata, segala pengalaman itu dicurahkan menerusi lagu terbarunya, Cut Away yang menyorot setiap langkahnya ketika memulakan hidup baharu di Sepanyol.

Lagu itu kata Wincci, dihasilkan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Sepanyol.

“Saya datang ke sini untuk mendapatkan ilmu dan sanggup bermula kembali dari bawah. Saya tidak kisah lagi soal kemasyhuran kerana wang dan populariti, semuanya tidak akan kekal,” katanya.

Kata Wincci, singlenya itu akan dilancar dan diterbitkan bersama syarikat rakaman dari Taiwan serta China iaitu Ocean Butterflies, Taihe dan Touch Music.

Terbaru, Wincci mendapat tawaran dari University of Polytechnic, Sepanyol untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah kedua dalam bidang Produksi Artistik.

Sepanjang 15 tahun membina nama, Winnci membuktikan kesungguhannya dengan menggenggam ijazah Sarjana Muda Undang-undang (2007), Sarjana Pengurusan Perniagaan (2008) dan Doktor Falsafah (PhD) dalam Perniagaan (2016), Sarjana Muzik (2018).

Berita Harian X