Jumaat, 12 Julai 2019 | 6:00pm
ERNIE mengakui masalah rabun yang dialami mengganggu fokus hingga memberi kesan kepada urusan harian dan kerjaya. Foto Nurul Syazana Rose Razman
ERNIE mengakui masalah rabun yang dialami mengganggu fokus hingga memberi kesan kepada urusan harian dan kerjaya. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Ernie mahu buat rawatan LASIK

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ernie Zakri, berhasrat menjalani prosedur memperbetulkan penglihatan bagi mengatasi masalah rabun, sekali gus memudahkan urusan kerjaya dan harian.

Ernie, 27, berkata kebelakangan ini, dia kerap mengalami sakit kepala keterlaluan hingga menyukarkan dirinya memberi fokus kepada kerjaya, selain tidak lagi selesa mengenakan kanta lekap.

“Mungkin kerana peningkatan usia, saya cepat sakit kepala dan mata pula mudah merah apabila terlalu lama mengenakan kanta lekap.

“Sebagai penyanyi, penglihatan yang jelas penting, terutama memastikan penyampaian lirik yang betul, selain untuk berkomunikasi dengan peminat supaya persembahan lebih dirasai.

“Meskipun masalah rabun yang saya alami tidak terlalu teruk, bimbang juga jika dibiarkan akan memberi kesan. Memang saya mempunyai perancangan untuk menjalani rawatan LASIK, cuma masih mencari asa yang sesuai,” katanya.

Mengulas dirinya dikatakan sebagai pengganti Datuk Seri Siti Nurhaliza sekiranya lagu Anta Permana layak ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik 34, Ernie yang ditemui pada acara fesyen Koleksi Musim Panas ALIKE 2020, enggan meletak harapan menggunung.

Baginya, selagi belum ada kata putus daripada komposer lagu itu iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong, dia tidak berani memberikan kenyataan rasmi.

“Ramai lagi penyanyi hebat yang mampu menyanyikan lagu itu dengan baik, siapa saya berbanding mereka. Selagi belum ada kata putus, saya tidak berani memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

“Ada rezeki untuk menggalas tanggungjawab itu, saya terima dengan tangan terbuka. Namun, saya akui, tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan Tok Ti sebagai penyanyi asal lagu,” kata Ernie.

Berita Harian X