Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:07pm
HANTARAN pendakwah bebas, Ebit Lew, di Instagramnya mengenai pertemuan beliau dengan Aliff di kediamannya di Singapura. - Foto IG Ebit Lew

Aliff teresak-esak depan Ebit Lew

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, 28, mengakui mula mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa sejak berdepan kontroversi curang hingga perkahwinannya dengan Bella Astillah terlerai.

Menerusi hantaran di Instagram Ustaz Ebit Lew, beberapa jam lalu, pendakwah bebas berkenaan dilihat meluangkan masa bertemu Aliff di kediamannya di Singapura, selepas selesai berceramah di Masjid Politeknik Pasir Gudang, Johor.

Kata Ebit, selesai ceramah di tempat terbabit, dia menerima mesej daripada kumpulan dikenali sebagai Door To Door Ebit Lew untuk melakukan ziarah dakwah ke atas artis berkenaan di Kota Singa.

"Terus ke rumahnya. Niat kerana Allah sahaja. Berdoa supaya Allah terima jadi ‘asbab’ kebaikan dan hidayah. Panjang lebar kami berbual. Saya tanya (kepadanya) jika hari ini adalah hari terakhir. Tiada esok, tiada lusa.

"Apa (dia) nak cakap kepada yang disayangi dan anak yang sangat ‘cute’. Beliau terus menangis teresak-esak. Menahan sebak. Saya jadi sebak," tulis pendakwah berkenaan.

Ebit menambah, dia kagum melihat kesungguhan Aliff apabila dimaklumkan sudah mula mendekati Allah, selain berusaha menjadi insan lebih baik.

"Syukur dengar Aliff kini yang menjaga solat, mula hafal al-Quran. Nenek dan datuknya orang sangat baik. Begitu juga mak dan ayahnya. Tadi, banyak soalan agama daripadanya. Setiap manusia diuji Allah,” katanya.

Dia juga berdoa semoga artis kontroversi terbabit terus istiqamah kerana Allah dan persiapan menghadapi hari akhirat.

Aliff dan Bella, 25, berkahwin pada 9 September 2016. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Ayden Adrean, yang kini berusia dua tahun.

Pasangan itu sah bercerai pada 16 Mei lalu selepas berdepan pelbagai kontroversi.

Berita Harian X