Ahad, 14 Julai 2019 | 11:00am
PELAKON, Dini Schatzmann dan Janna Nick, ketika bercuti ke Jepun, baru-baru ini. - Foto IG Dini Schatzmann

'Bukan bercinta, tapi kawan baik'

KUALA LUMPUR: “Kami tidak bercinta, tetapi agak rapat sebagai kawan.”

Demikian penjelasan bakat baharu, Dini Schatzmann, 25, mengenai gosip mengatakan dirinya kini menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon, Janna Nick.

Menurut pelakon kacukan Melayu-Swiss yang mula dikenali menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek itu, Janna ialah satu-satunya rakan baik beliau dalam industri seni tanah air.

“Jadi, Janna banyak memberikan nasihat kepada saya mengenai industri ini, tidak lebih daripada itu. Mungkin sikapnya yang mesra dan suka meninggalkan komen di Instagram saya menyebabkan gosip kami bercinta boleh timbul,” katanya kepada BH Online.

Hubungan dua selebriti berkenaan mula diperkatakan apabila bintang Leftenan Zana itu gemar meninggalkan komen di laman sosial Dini sehingga sesetengah pihak berasakan kedua-duanya semakin intim.

Malah, bukan sekadar hadir bersama, Dina dan Janna, 24, juga dilihat duduk bersebelahan pada sebuah acara anugerah hiburan, baru-baru ini.

“Kami mula rapat apabila sama-sama menjayakan drama, Bukan Cinta Aku, siaran TV3. Malah, kami semakin kerap berjumpa apabila Janna menggunakan khidmat saya sebagai jurulatih peribadi,” ujarnya.

Ditanya mengenai percutian bersama pelakon jelita itu ke Jepun, baru-baru ini, Dini berkata, ia bukan hanya disertai mereka berdua.

DINI dan Janna duduk bersebelahan pada sebuah acara hiburan, baru-baru ini. - Foto IG Dini Schatzmann

“Seperti dapat dilihat di laman sosial saya, kami ke sana kerana mempromosikan sebuah jenama syarikat penerbangan.

“Pemergian kami juga turut diiringi pihak pengurusan masing-masing,” katanya yang berharap gosip berkenaan tidak membayangi usaha dirinya memahat nama sebagai anak seni.

Berita Harian X