Selasa, 16 Julai 2019 | 11:00am
Ezlynn mengaku sukar mencari teman hidup selepas kegagalan rumah tangga yang lalu. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman
Ezlynn mengaku sukar mencari teman hidup selepas kegagalan rumah tangga yang lalu. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

'Tak semua lelaki boleh dipercayai'

KUALA LUMPUR: Terlalu sukar buat penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn, 38, melepaskan bayangan memori silam kisah rumah tangga yang terlalu merobek hati.

Hingga saat ini, penyanyi yang pernah berkahwin dengan pengurusnya sendiri itu sukar mencari teman hidup sebagai pengganti.

Jauh di sudut hati, Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin ingin mengecapi kebahagiaan hidup seperti insan lain. Doa untuk menemui pasangan secocok dan memiliki cahaya mata tidak putus dipanjatkan kepada Yang Maha Kuasa.

Secara jujurnya, Ezlynn berkata, dia berkawan dengan ramai lelaki, tetapi belum menemui pasangan bertanggungjawab dan memiliki kriteria dicari.

“Saya tidak pernah serik, tetapi saya semakin berhati-hati dengan lelaki. Cukuplah sekali saya terkena dahulu. Ia membuatkan saya sedar, tidak semua lelaki boleh dipercayai.

“Saya akui, seronok hidup sendiri. Saya tidak dihantui masalah dan suka hati mahu melakukan apa sahaja.

“Bagaimanapun, saya juga perlu memikirkan masa depan. Walaupun selesa hidup bersendirian, saya tetap memerlukan pasangan hidup.

“Saya mahu cepat berkahwin dan memiliki cahaya mata. Usia pun sudah menghampiri 40-an. Dahulu, bekas suami memang tidak mahu anak. Aturan Tuhan memang terbaik buat saya. Jika ada anak, sudah tentu anak menjadi mangsa kehancuran sebuah rumah tangga,” katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Zombie Kampung Pisang dan Husin, Mon & Jin Pakai Toncit itu berkata, dia tidak memilih lelaki kaya dan berharta untuk sehidup semati dengannya.

“Saya mahukan pasangan yang bertanggungjawab. Jika tiada harta, tetapi bersikap tanggungjawab, dia akan berusaha sebaik mungkin.

“Apa yang berlaku pada rumah tangga dahulu membuatkan saya harus menilai perhubungan sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.

“Dahulu, bekas suami berulang kali melakukan kesilapan, namun saya tetap memaafkan dan menerimanya. Bagaimanapun, kini tidak lagi. Kesilapan yang harus saya ukur terlebih dahulu untuk hidup pada masa depan. Buat sahaja silap, saya angkat kaki.

“Saya tidak rugi apa-apapun. Saya tidak berkawan atau berkahwin pun tak mengapa, asalkan tidak sakit kepala. Bukan apa, saya takut mengulangi kesilapan sama. Bagaimanapun, bukan mahu menidakkan ketentuan Allah, segala-gala yang berlaku sudah ditakdirkan buat saya,” katanya.

Wanita kelahiran Hulu Kinta, Perak itu berkata, dia menemui pelbagai ragam golongan Adam sepanjang pencariannya, termasuk lelaki muda yang ingin menghimpit.

“Anak ikan berusia 20-an pun ada mahu menghimpit dan menjalinkan hubungan serius dengan saya.

“Walaupun kenal ramai lelaki, saya belum menemui mereka yang benar-benar bertanggungjawab pada pandangan mata saya. Ramai yang mahu menjalinkan hubungan serius, tetapi tidak memiliki kriteria saya inginkan.

“Saya tidak peduli dengan cerita yang didedahkan ini dan tak kisah pun jika ada yang terasa. Lelaki kena tahu, mereka perlu berubah untuk jadi yang terbaik. Jika dibiarkan, mereka tidak tahu kesilapan.

“Saya kenal lelaki yang baik, tetapi tidak memiliki faktor X untuk saya terima sebagai teman hidup. Lelaki muda lagilah saya tak percaya,” katanya.

Berita Harian X