Khamis, 18 Julai 2019 | 3:17pm
PELAKON, Heliza Helmi, berkongsi masalah dihadapi mereka ketika menyertai misi kemanusiaan di Gaza, di laman sosialnya, beberapa jam lalu. - NSTP

Kami tak tahu bila boleh balik - Heliza Helmi

KUALA LUMPUR: “Tiada jaminan boleh masuk atau keluar di Gaza ini. Inilah realiti kehidupan bumi dinamakan Gaza Palestin.”

Demikian coretan penyanyi dan pelakon, Heliza Helmi, di laman Instagram selepas delegasi Malaysia yang menjayakan misi #WakeUpForGaza terperangkap di sempadan Rafah, Mesir.

Heliza berada di sana sejak 8 Julai lalu bersama-sama sukarelawan lain, termasuk adiknya, Hazwani; suami pelakon Yatt Hamzah, Zulfadhli Khairuddin; dan anggota Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Mereka sepatutnya dijadualkan pulang ke tanah air, hari ini.

“Perjalanan nak tembusi masuk ke Gaza sahaja ambil masa lebih 16 jam, dengan perlu melepasi satu demi satu ‘check point’ yang tiada kemudahan tempat makan dan minum serta tandas.

“Memang mencabar. Enam belas jam tak pergi ke tandas memang amat mencabar. Nak masuk Rafah sahaja penuh cabaran kerana perlu melepasi pemeriksaan demi pemeriksaan pihak berkuasa di sana. Akhirnya kami perlu menunggu dan terus menunggu.

“Waktu nak tunjuk pasport pun sampai kena tengking dengan pihak berkuasa. Dihalau dan kemudian beratur semula. Sistem mereka di sana memang berlangsung sesuka hati,” tulisnya lagi.


PERKONGSIAN Heliza Helmi mengenai rombongan misi amal ke Gaza, Palestin, yang terperangkap di Rafah, Mesir.

Heliza turut memaklumkan, keadaan cuaca di sana juga panas terik sehingga mencecah 50 darjah selsius.

“Bayangkan, kami terkepung dengan ramai orang di kawasan sempit, tiada udara mahupun kipas. Apatah lagi pendingin hawa.

“Solat pun kena (tunaikan) di atas lantai yang berdebu dan penuh sampah. Bayangkan kalau lebih lama terkandas di sini dan bekalan makanan habis. Rangkaian internet pun tak ada.

“Ada juga yang cedera dan duduk di atas lantai dengan muka kemerahan serta berpeluh. Semua menanti penuh harapan supaya dapat keluar. Kami sebaliknya diberitahu perlu tinggal di Rafah. Selepas beberapa jam pula, kami diminta berpatah balik ke Gaza,” kongsinya lagi.

Saat ini juga Heliza turut memaklumkan, mereka belum tahu nasib diri dan bila dapat kembali ke tanah air.

Berita Harian X