Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:00am
FADLAN mahu dikenali ramai kerana bakat, bukan bersandar kepada kisah kontroversi. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Imej bersih pun susah dapat peluang - Fadlan

KUALA LUMPUR: Hampir sembilan tahun menelusuri perjalanan sebagai anak seni, Fadlan Hazim, mengakui dirinya masih bergelut untuk membuktikan bakat.

Fadlan berkata, dia tidak kisah terpaksa menanti lama, asalkan namanya diperkatakan kerana bakat dan bukan hal remeh.

Pelakon yang dikenali menerusi drama Hotel Mania, Delina, Dhia Sofea dan Papa Ricky itu berkata, dia pernah berdepan fasa getir apabila hampir empat bulan tidak menerima tawaran, tahun lalu.

Fasa itu, akui Fadlan, hampir membuatkan dia berputus asa hingga pelbagai persoalan hadir mengenai masa depannya dalam industri hiburan.

“Ia membuatkan saya tertanya-tanya sendiri, apakah saya boleh melangkah jauh atau sebaliknya? Ia berpunca apabila nama saya digugurkan sebuah syarikat produksi kerana menemui pelakon lain yang jauh lebih popular untuk watak utama.

“Tidak pernah saya ‘menganggur’ selama itu sejak mula berlakon. Memang saya tertekan, apatah lagi saya bekerja dengan ikhlas, selain menjaga disiplin dan tidak pernah buat hal di lokasi penggambaran.

“Saya bukan artis yang dikenali kerana kontroversi. Boleh dikatakan, nama saya bersih daripada kisah bukan-bukan, tetapi nasib tidak begitu menyebelahi. Mungkin itu dugaan saya.

“Selama ini, saya cuba naik dengan imej bersih kerana saya mahu mempertaruhkan bakat, tanpa diganggu kontroversi,” katanya yang turut menerima pencalonan awal bagi kategori online, Pelakon Watak Antagonis, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 menerusi drama Seribu Rindu.

Pelakon yang bakal muncul dengan filem Sangkar itu berkata, dia juga selesa mencabar diri dengan mencuba pelbagai karakter, termasuk watak antagonis.

“Saya selesa dan terbuka dengan apa sahaja karakter. Mungkin ada sesetengah pelakon hanya mengambil watak utama, tetapi saya tidak terlalu memilih.

“Watak antagonis sebenarnya banyak mencabar diri, malah memberi ruang untuk meneroka sisi baharu dalam lakonan. Dalam Sangkar, saya turut membawa watak jahat,” katanya.

Berita Harian X