X
Ahad, 21 Julai 2019 | 9:00am
PENYANYI, Siti Nordiana, terharu dengan sokongan peminat sehingga namanya dicalonkan dalam lima kategori ABPBH 32. - NSTP/Mahzir Mat Isa
PENYANYI, Siti Nordiana, terharu dengan sokongan peminat sehingga namanya dicalonkan dalam lima kategori ABPBH 32. - NSTP/Mahzir Mat Isa

ABPBH 32: Nana serah kepada peminat

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Nordiana, 34, lebih selesa menyerahkan nasibnya pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 kepada peminat.

Siti Nordiana atau lebih mesra dengan panggilan Nana berkata, dicalonkan sekali lagi dalam acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu sudah memadai buat dirinya.

“Semua ini adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi peminat. Mereka tidak jemu menyokong apa sahaja aktiviti seni yang saya lakukan.

“Peminat jugalah yang gigih menjalankan kempen untuk saya di media sosial. Saya sangat terharu melihat kesungguhan mereka. Sebagai menghargai usaha dilakukan, saya berkongsi semula hantaran masing-masing di Instagram,” cerita Nana.

Pada ABPBH yang bertemakan ‘Melangkaui Sempadan’ ini, penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara itu dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, Pengacara TV Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Artis Versatil Popular dan Lagu Paling Boom.

Dengan pelbagai kategori ditandingi, pemenang trofi Penyanyi Wanita Popular ABPBH 3.0 itu antara selebriti yang mendominasi pencalonan awal anugerah terbabit, kali ini.

Ditanya mengenai kategori dirasakan mampu membawa tuah buat dirinya, ibu kepada seorang anak lelaki itu akui sukar untuknya membuat sebarang ramalan.

“Kalau berdasarkan hantaran di media sosial, mereka undi semua kategori. Entahlah, saya sendiri sukar hendak mengagak dalam soal itu. Jadi, lebih baik saya serahkan perkara terbabit kepada peminat dan juga rezeki,” katanya yang baru sahaja muncul dengan lagu duet bersama Khai Bahar, Satukan Rasa.

Undian peringkat awal ABPBH 32 yang sekali lagi menyaksikan Alha Alfa sebagai penaja utama sudah pun bermula sejak 15 Julai lalu dan akan berakhir pada 14 Ogos depan.

Kemudian, peminat berpeluang membuat undian calon Top 5, sehingga 15 September, sebelum keputusan pemenang bagi 15 kategori utama dan lima kategori online diumumkan pada malam kemuncak yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 22 September depan.

Menyentuh mengenai lagu paduan suaranya bersama Khai, Nana teruja kerana buat julung kali dendangannya menjadi sohor kini di YouTube.

“Sebelum ini, video muzik lagu nyanyian saya tidaklah mencapai tahap sebegitu. Kalau ada pun, ia bukan berada pada kedudukan pertama sohor kini, seperti yang berlaku pada Satukan Rasa.

“Kiranya, sekarang saya merasa juga pengalaman berada pada kedudukan nombor satu. Terima kasih buat peminat yang menyokong.

“Kejayaan lagu itu juga, pada saya, bukanlah disebabkan faktor menumpang populariti sesiapa. Saya mempunyai peminat sendiri, begitu juga dengan Khai. Cuma apabila kami digabungkan, sambutannya menjadi lebih hebat kerana peminat muda dan berusia bersatu,” katanya.

Video muzik rasmi lagu itu, yang dimuat naik ke laman berkenaan sejak 2 Julai lalu, sehingga kini mencatat lebih 2.2 juta tontonan.

Berita Harian X