Selasa, 23 Julai 2019 | 11:00am
SAHARUL sanggup turunkan semula berat badan demi filem pertamanya. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Saharul buat badan demi filem pertama

KUALA LUMPUR: Selepas sembilan tahun menanti, impian Saharul Ridzwan untuk membintangi filem pertama akhirnya menjadi kenyataan.

Saharul, 30, berkata ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah, awal tahun ini, dia pernah berdoa dibukakan Allah jalan untuk berlakon filem aksi.

Peluang itu menyebelahi pelakon yang pernah popular menerusi drama Jangan Benci Cintaku itu apabila ditawarkan membawa watak utama dalam filem Coast Guard terbitan Arie Zaharie Production dan Flying Deal Sdn Bhd.

Untuk filem itu, Saharul tidak kisah menurunkan semula berat badannya, biarpun sebelum ini berusaha keras menaikkan kembali berat yang merosot sejak membintangi telefilem, Sahur Terakhir, tahun lalu.

“Saya bekerja tidak berhenti-henti sejak tahun lalu hingga berat badan turun mendadak. Saya bukan suka-suka mahu menaikkan berat badan, sebaliknya sedang berusaha mendapatkan susuk tubuh sasa.

“Tetapi, apabila peluang berlakon filem hadir, saya terpaksa turunkan berat badan semula. Biarpun tidak diminta pihak produksi, saya tidak mahu kelihatan terlalu besar di layar.

“Apatah lagi, ia adalah filem aksi yang membabitkan 90 peratus babak lasak dan pertarungan. Jika badan besar, saya bimbang tiada stamina.

“Ketika ini, berat badan saya 83 kilogram (kg). Saya harus berusaha mencapai 78 kg sebelum memasuki set penggambaran, tidak lama lagi,” katanya yang tidak mengambil projek lakonan lain bagi menumpukan perhatian pada persediaan filem pertamanya.

Sementara itu, Saharul berkata, dia masih memegang prinsip untuk tidak melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita, malah kurang selesa jika diminta beraksi romantis.

Saharul berkata, prinsip itu dipegang bukan kerana mahu menunjuk alim atau untuk menjaga hati isterinya, namun ia atas kemahuannya sendiri.

"Setiap kali mendapat projek baharu, perkara pertama yang saya fikir bagaimana untuk mengubah situasi supaya adegan bersentuhan tidak dilakukan.

“Saya jadi takut dan berderau jika perlu melakonkan adegan romantis. Mungkin saya sudah mempraktikkan amalan tidak bersentuhan sejak awal lagi, cukup berat untuk saya melakukan adegan romantis,” katanya.

Berita Harian X