Selasa, 23 Julai 2019 | 2:19pm
PENYANYI, Datuk Jamal Abdillah bersama isteri, Zai Izatti Khiruddin, bakal menyambut kelahiran anak perempuan, November depan. - NSTP/Rosela Ismail

Jamal bakal timang puteri

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka dilahirkan isterinya pada awal November depan.

Katanya, buat masa ini, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, yang hamil enam bulan tidak mempunyai sebarang alahan atau mengidam.

“Syukur kandungan kali ini dipermudahkan, malah isteri pun tampak sihat, bertenaga dan tidak mengidam makanan pelik-pelik.

“Sekarang dia lebih banyak berada di rumah kerana saya sendiri mahu dirinya berehat, memandangkan sebelum ini isteri pernah tiga kali mengalami keguguran.

“Insya-Allah, ikutkan ujian imbasan, kami bakal menimang anak perempuan pada 4 November depan. Alhamdulillah,” katanya kepada BH Online.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 60, berkahwin dengan wanita berasal dari Perak itu pada pada 1 April 2017.

Terdahulu, Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali iaitu dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad. Ketiga-tiganya berakhir dengan perpisahan.

Bersama Noraina, penyanyi Kau Lupa Janji itu dikurniakan Osama Yamani yang kini berusia 18 tahun, manakala dengan Fatimatuzarah pula dia dianugerahkan Ahmad Zaki Yamani, 12.

Ditanya mengenai maklum balas kedua-dua anak lelakinya dengan kehadiran bakal anggota keluarga baharu, akui Jamal, mereka belum mengetahui berita gembira berkenaan.

Katanya, dia bukan sengaja merahsiakan perkara itu, sebaliknya menunggu masa sesuai untuk berkongsi mengenainya, selain menganggap ia sebagai hal biasa.

“Osama dan Ahmad Zaki tidak tahu pun mereka bakal mempunyai adik perempuan, tak lama lagi. Saya tak berahsia pun,” katanya.

Berita Harian X