Rabu, 24 Julai 2019 | 1:00pm
JOHAN akur silap sendiri apabila sukar kekalkan momentum kerjaya. Foto Khairull Azry Bidin
JOHAN akur silap sendiri apabila sukar kekalkan momentum kerjaya. Foto Khairull Azry Bidin

Johan akur silap sendiri

KUALA LUMPUR: Hampir lapan tahun membina nama, pelakon Johan As’ari mengakui, dirinya berdepan ujian berat apabila langsung tidak menerima tawaran berlakon sepanjang tahun lalu.

Pelakon yang melonjak menerusi watak Botak dalam drama dan filem Juvana itu akur, ia berpunca kesilapan sendiri hingga menyebabkan penerbit hilang kepercayaan.

“Saya pernah hanyut dan lupa diri apabila mendadak popular. Ia menyebabkan saya gagal mengekalkan momentum, tetapi saya terima semua yang tertulis kerana ia berpunca kesilapan sendiri,” katanya.

Johan berkata, kehilangan ibu tercinta, Datin Firdaus Abdul Kader kerana kanser tulang pada 2015 menjentik hatinya supaya kembali ke landasan sebenar.

“Perlahan-lahan saya berusaha untuk meraih kembali apa yang pernah hilang. Saya tidak kesal dengan apa yang saya lalui kerana semua itu membentuk saya menjadi lebih matang.

“Alhamdulillah, walaupun rezeki berlakon tidak seperti dahulu, saya masih menerima tawaran untuk membintangi filem. Kadang-kadang saya malu dengan Tuhan kerana tidak pernah putus memberikan rezeki, walaupun saya pernah lupa mensyukuri nikmat-Nya,” katanya.

Beralih kepada soalan peribadi, pelakon yang pernah dijulang sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu berkata, dia masih baik dengan kekasihnya yang hanya dikenali sebagai Letty.

Johan berkata, mereka masih berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan video, memandangkan Letty sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah di United Kingdom.

“Saya memahami dan terbuka dalam hubungan kami kerana Letty juga mempunyai impian yang ingin dicapai. Semuanya berbalik kepada soal jodoh.

“Seandainya nanti antara kami ditakdirkan bertemu orang lain, kami terima suratan takdir itu,” katanya.

Johan atau nama lengkapnya Johan Ariff As’ari, baru-baru ini sempat bercuti ke Bali, Indonesia untuk merehatkan minda, sementara menanti pengesahan membintangi sebuah filem aksi.

Berita Harian X