Rabu, 24 Julai 2019 | 3:28pm
HAZIQ (tengah) menerima kunjungan Fara Hezel dan Izzmad di kediamannya, baru-baru ini, Foto Ihsan Linda Eva

Harap kaki Haziq tak dipotong - Linda Eva

KUALA LUMPUR: “Kita masih berusaha untuk selamatkan kaki kanannya daripada dipotong,” kata bekas anggota kumpulan Eva, Linda mengenai keadaan anaknya, Muhammad Haziq Hasbullah yang mengalami salur darah putus akibat kemalangan jalan raya pada 5 Julai lalu.

Linda atau nama sebenarnya Norhaslinda Ishak berkata, meskipun perit melihat keadaan Haziq, semangat anaknya itu begitu kuat dan kental berjuang untuk kembali sembuh.

“Saya lihat dia begitu tenang berdepan dugaan. Sebagai ibu, saya hanya berharap dan berdoa semoga dia akan pulih dan sihat kembali.

“Saya harap kakinya tidak akan dipotong dan kami sedang berikhtiar dengan apa juga cara untuk membantunya. Saya amat hargai bantuan dan doa yang kami terima daripada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Haziq yang membonceng motosikal bersama rakannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Sungai Besi, di sini, ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil pada 5 Julai lalu mengakibatkan kaki kanannya cedera parah.

Sebelum itu, Haziq pernah terbabit dalam kemalangan pada 2017 lalu apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

Akibat kemalangan itu, Haziq mengalami kecederaan pada paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk.

Haziq terlebih dahulu dikenali sebagai vokalis kumpulan Putera Band dan popular dengan lagu Rebahku Tanpamu, Tersiksa serta Dilema, namun memilih bergerak solo sejak Februari lalu.

Sementara itu, Linda berkata, dia terharu dengan usaha tiga penyanyi muda iaitu Aiman Tino, Fara Hezel dan Izzmad Harun yang turut membantu meringankan beban mereka.

Menerusi program Permata Kasih Untukmu, ketiga-tiga artis itu melancarkan kempen Dermalah Seikhlas Hati Anda Walaupun Hanya RM1 untuk membantu mereka yang berdepan kesusahan, termasuk Haziq.

Izzmad berkata, mereka menerima apa sahaja bentuk bantuan, termasuk pakaian, makanan dan kewangan untuk disalurkan kepada insan yang memerlukan.

“Untuk membantu Haziq, mereka boleh menghubungi ibunya menerusi Instagram: @lindaeva_official. Insya-Allah, usaha kecil ini dapat memberikan keceriaan kepada mereka yang sedang diuji,” katanya.

Berita Harian X