Khamis, 25 Julai 2019 | 1:00pm
SELEPAS lima musim menemui penonton, Erma membayangkan mungkin tidak meneruskan lagi siri Mak Cun. Foto IG Erma Fatima

Baik berhenti sebelum orang jemu - Erma Fatima

KUALA LUMPUR: Pengarah yang popular dengan karakter Mak Cun, Erma Fatima, menyifatkan drama terbarunya iaitu Atin, Atan & Mak Cun berkemungkinan besar menjadi produksi terakhir diterbitkan di bawah jenama itu.

Erma berkata, selepas lima musim disiarkan di TV3, dia berkemungkinan tidak meneruskan lagi penerbitan drama itu, meskipun karakter Mak Cun mempunyai pengikut tersendiri.

“Diikutkan memang sudah lama saya mahu hentikan naskhah Mak Cun, tetapi kita teruskan juga atas permintaan TV3 kerana ia masih mendapat rating yang tinggi.

“Atas alasan itu, saya teruskan juga berkarya, tetapi ini mungkin siri Mak Cun yang terakhir yang dapat disaksikan menerusi skrin televisyen. Saya anggap musim kelima sebagai penutup siri itu.

“Kepada yang sudah jelak dengan perjalanan cerita Mak Cun, siri ini barangkali yang terakhir,” katanya.

Musim kelima drama itu mula bersiaran sejak 18 Julai lalu. Selepas ‘menakluk’ Sepanyol dan New York dalam musim terdahulu, siri terbaru itu menyaksikan Mak Cun melebarkan sayap perniagaannya ke China.

“Kali ini, dua cucu Mak Cun iaitu Atin dan Atan menjadi watak penting, malah saya turut abadikan nama mereka sebagai judul.

“Drama ini turut diminati golongan kanak-kanak, jadi kali ini kita memberikan fokus kepada watak mereka,” katanya.

Drama arahan Izuan Mokhtar ini membariskan pelakon seperti Datin Seri Umie Aida, Nora Danish, Datuk Rahim Razali, Sherry Alhadad, Amelina, Nur Khadra Syamimi, Zareef Yusof, Muzayyin, Putri Qaseh, Damia Qaissarah, Syafiq dan Wafiy Irfan Ariffen.

Berita Harian X