Jumaat, 26 Julai 2019 | 9:00am
MAMAT belum temui wanita yang serasi sebagai teman hidup selepas sedekad menduda. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Mamat cerewet pilih pengganti

KUALA LUMPUR: Sedekad menduda, bekas vokalis kumpulan Exists, Mamat, mengakui masih belum menemui calon sesuai untuk dijadikan pasangan hidup.

Mengakui berkawan dengan ramai wanita, Mamat atau nama lengkapnya Mohd Ali Kamarudin, 42, berkata sikap cerewet dalam mencari pengganti membuatkan dia lebih selesa untuk hidup solo.

“Saya tidak pernah serik berkahwin, cuma belum ada jodoh. Tidak dinafikan, saya ada berkawan dengan ramai wanita dan kami sangat terbuka, terutama dalam membicarakan soal cinta.

“Cuma, saya belum berjumpa lagi wanita yang serasi dan sesuai dijadikan calon isteri,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Salju Di Danau Rindu itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001, tetapi bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aleeya Mysara, 17; Mohd Eiki Daniell, 15, dan Dylea Mysara, 13.

Sementara itu, Mamat turut meluahkan perasaan kecewa apabila masih ada pihak yang percaya dengan pelbagai cerita tidak benar yang disebarkan mengenai dirinya.

“Banyak cerita bukan-bukan mengenai saya yang disebarkan, tanpa terlebih dahulu bertanya saya kesahihannya.

“Tiada siapa yang menghubungi, terutama kisah saya yang tenggelam timbul dalam industri.

“Saya tidak pernah hilang, malah masih aktif membuat persembahan. Cuma, tidak ada publisiti,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Exists Reunion, baru-baru ini.

Konsert yang julung kali diadakan itu menyaksikan Mamat beraksi bersama anggota asal kumpulan itu, di samping penyanyi penggantinya, Ezad Lazim.

Berita Harian X