Jumaat, 26 Julai 2019 | 11:00am
HAMPIR dua dekad berlakon, Catriona sentiasa mencari cabaran baharu di lokasi penggambaran. Foto Rosela Ismail

'Tak jatuh standard pun berlakon jadi ibu'

KUALA LUMPUR: Hampir dua dekad berlakon, Catriona Ross, 38, tetap berdepan cabaran tersendiri, terutama untuk mewarnai karakter sebagai ibu dalam produksi yang dibintanginya.

Wanita berdarah Melayu-Scottish itu berkata, dia berbangga apabila terus menjadi pilihan penerbit, malah tidak melihat watak diberikan menjatuhkan nama dan reputasinya sebagai pelakon.

Akur segelintir pelakon sebaya menolak untuk membawakan watak sebegitu, Catriona bagaimanapun, berkata tidak semua tawaran diterima kerana dia juga meletakkan kriteria tertentu sebelum memberikan kata persetujuan.

“Saya tidak rasa kekurangan apabila membawa watak kakak atau ibu kerana masih berpeluang meneroka sisi berbeza sebagai pelakon.

“Kebelakangan ini, saya diberi kepercayaan membawa watak ibu antagonis. Saya bukan jenis pelakon yang tangkap muat atau asal boleh. Saya akan kaji setiap karakter sebelum menerima tawaran.

“Saya melihat pelakon senior Hollywood, Meryl Streep sebagai contoh. Dia masih relevan, malah berikan apa sahaja watak, Streep mampu memberi warna dan membuat penonton ternanti-nanti penampilannya,” katanya.

Ibu kepada Sephia Rania, Jammal Raess dan Edruce Riyadh itu berkata, dia bukan jenis pelakon yang ‘rembat’ apa sahaja tawaran di depan mata.

“Kalau watak atau jalan cerita kurang menarik, saya tidak akan terima. Setiap watak bagi saya, mempunyai cabaran tersendiri, jadi tidak perlu berasa rendah diri apabila hanya membawa peranan pembantu,” katanya.

Catriona kini menjalani penggambaran drama Cindai terbitan syarikat produksi, JS Pictures. Dalam drama itu, dia memegang watak sebagai Datuk Seri Kalsom, pemilik resort mewah yang bertemu jodoh dengan lelaki muda lakonan Niezam Zaidi.

Cindai turut membariskan pelakon seperti Raysha Rizrose, Ayda Jebat, Syazuwan Hassan dan Nazim Othman.

Berita Harian X