Ahad, 28 Julai 2019 | 11:00am
PENYANYI dan komposer, Harry Khalifah atau Apak. - NSTP/Mohd Shahril Badri Saali
PENYANYI dan komposer, Harry Khalifah atau Apak. - NSTP/Mohd Shahril Badri Saali

Harry tepis dakwaan tumpang populariti dunia politik

KUALA LUMPUR: Lagu paduan suara kumpulan nasyid UNIC dan Harry Khalifah, Padu Bossku, bukan karya bersifat politik.

Kata penciptanya, Harry, yang turut dikenali sebagai Apak, lagu diinspirasikan daripada loghat Sabah itu ditulis kira-kira dua tahun lalu.

“Ramai orang yang mentafsirkan lagu ini berbaur politik. Malah, ada juga warganet mengatakan kami menumpang populariti dunia politik. Sedangkan, hakikatnya bukan begitu.

“Lagu ini menceritakan bagaimana saya mahu memartabatkan seseorang sebagai bos. Jadi, ia tiada kena mengena dengan politik. Ia ditulis sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berlangsung, iaitu sebelum perkataan ‘Bossku’ tular,” katanya kepada BH Online.

Tambah Harry, berikutan lagu dengan lirik hasil nukilan Achoi Floor 88 itu turut menyelitkan mesej ketuhanan, mereka berasakan kumpulan terbabit cukup sesuai ditampilkan sebagai rakan kolaborasi.

“UNIC ialah kumpulan nasyid yang unik dan paling sesuai untuk menyampaikan lagu ini. Apatah lagi mereka bukan sekadar fokus pada genre nasyid, sebaliknya boleh juga menyanyikan irama rap atau dangdut. Mereka berkemampuan untuk melakukan sesuatu di luar kotak,” katanya.

Sementara itu, anggota UNIC, Fakhrul atau Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, gembira apabila Harry memilih kumpulan berkenaan sebagai rakan duet, membolehkan masing-masing memberikan sesuatu yang berbeza kepada peminat.

KUMPULAN nasyid UNIC bakal tampil dengan lagu duet kedua bersama Harry Khalifah, hujung tahun ini. - NSTP/Aziah Azmee
KUMPULAN nasyid UNIC bakal tampil dengan lagu duet kedua bersama Harry Khalifah, hujung tahun ini. - NSTP/Aziah Azmee

“Ia sebuah lagu yang mengandungi unsur nasihat, iaitu kita semua adalah sama. Ketika Apak memberikan lagu ini, kami lihat mesejnya amat positif.

“Kami sendiri sangat seronok dapat bekerjasama dengan seseorang yang sudah dianggap seperti abang. Bayangkan, sebelum ini UNIC tak pernah merakamkan video muzik dari jam 11 pagi sehingga 1 pagi keesokannya. Namun, melihat Apak masih bertenaga, kami jadi seronok melakukannya,” katanya.

Menerusi Padu Bossku juga, UNIC yang turut dianggotai oleh Bazli Hazwan dan Wan Najdi Wan Mohd Noh mengakui cabaran menyanyikan lagu berentak laju.

“Ia pengalaman baharu buat kami yang selama ini menyanyikan lagu berentak pop nasyid,” kata Fakhrul.

Sejak dimuat naik ke laman YouTube, kira-kira sebulan lalu, video muzik rasmi lagu berkenaan sehingga kini mencatat lebih 640,000 tontonan.

Selepas kerjasama pertama itu, mereka dijangka muncul dengan lagu duet kedua, hujung tahun ini. Kali ini, UNIC dan Harry merakamkan lagu dengan sentuhan muzik era 1960-an.

Berita Harian X