Ahad, 28 Julai 2019 | 3:38pm
Siti berjaya mengayuh basikal hingga ke garisan penamat pada Perlumbaan Lebuhraya RHB LEKAS 2019 biarpun lututnya koyak akibat terjatuh, malam tadi. Foto IG Siti Nurhaliza

Siti kayuh sampai habis biarpun lutut koyak

KUALA LUMPUR: ‘Saya baik-baik sahaja... Alhamdulillah.’

Itu pesanan Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila peminat risau sebaik mendapat tahu penyanyi kesayangan ramai ini ditimpa kemalangan apabila terjatuh ketika mengayuh basikal dalam insiden, malam tadi.

Biarpun lutut terkoyak, Siti berkayuh hingga ke garisan penamat bagi kategori 78 kilometer pada Perlumbaan Lebuhraya RHB LEKAS 2019 di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), dekat sini.

Bercerita mengenai kemalangan itu, Siti memberitahu:

“Nasib terjatuh semasa kayuhan basikal tak laju sangat. Saya cuba elak tayar basikal pasukan lain di hadapan,” katanya kepada BH Online.

Siti bersyukur dapat meneruskan kayuhan dan memenangi pingat yang ditujukan khas buat puteri tersayang, Siti Aafiyah Khalid.

“Ini pengalaman yang bagus. Pengayuh kental lah katakan. Alhamdulillah... Ini pingat kedua untuk Aafiyah.

“Terima kasih kepada semua pasukan saya yang banyak memberi sokongan,” katanya yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dalam perlumbaan itu.

Berita Harian X