Selasa, 30 Julai 2019 | 9:00am
Sufian mengaku kehadirannya di majlis meraikan ulang tahun kelima Jasmine dalam dunia seni, Ahad lalu tidak lebih daripada memberi sokongan kepada pelakon itu. - NSTP/Salhani Ibrahim

Jasmine Suraya macam 'crush' saya - Sufian Suhaimi

KUALA LUMPUR: Dendangan dua lagu termasuk single Di Matamu yang disampaikan penuh romantis pada majlis meraikan ulang tahun kelima Jasmine Suraya dalam dunia seni, mencetus spekulasi hubungan Sufian Suhaimi dan pelakon itu.

Ahad lalu, perhatian tetamu tertumpu kepada Sufian yang menghadiahkan dua lagu kegemaran Jasmine pada majlis meriah dihadiri kira-kira 30 peminat di sebuah premis acara, di sini.

“Jika kehadiran saya dapat membuatkan seseorang gembira, kenapa saya tidak lakukannya?” kata Sufian ketika ditanya mengenai kemunculannya di majlis berkenaan.

Sufian memberitahu, dia dimaklumkan syarikat pengurusan mengenai kejutan yang dirancang di majlis meraikan Jasmine.

“Saya percaya perkara ini diatur pengurusan saya dan dia (Jasmine). Kebetulan, saya tidak ada komitmen lain, jadi tak salah untuk saya ceriakan majlis itu.

“Secara kebetulan, Jasmine meminati lagu Di Matamu dan sukakan bakat saya,” katanya kepada BH Online.

Sufian berkata, kehadirannya di majlis itu tidak perlu disensasikan.

“Saya sudah biasa dengan gosip dan apa yang orang cakap. Kejutan yang saya beri ini tidak lebih daripada menyokong karier Jasmine,” katanya.

Pemenang kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 itu tidak menyangka Jasmine mampu merasai emosi single Di Matamu.

“Saya tahu ramai orang boleh mengaitkan lagu itu dengan diri sendiri. Ini termasuk Jasmine kerana dia pernah berhadapan kisah cinta tak kesampaian,” katanya.

Tanpa berselindung, Sufian mengaku meminati Jasmine yang kali pertama ditonton ketika mengendalikan program sukan bola sepak.

“Jasmine antara hos yang saya suka tonton di kaca televisyen (TV)... Dia macam ‘crush’ (gadis yang diminati) saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu akan melancarkan buku puisi berjudul Senandika Sufian Suhaimi

“Buku puisi yang memuatkan lebih 60 nukilan itu dijangka dipasarkan, Oktober depan. Buku puisi ini adalah hasil kolaborasi Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Tajuk buku ini dipilih atas perbincangan bersama UUM yang akan menguruskan soal penerbitan dan pengedarannya,” katanya.

Berita Harian X