Sabtu, 3 Ogos 2019 | 1:52pm
AIDA Agil ketika beramah mesra bersama artis ABPBH 32 yang berkunjung ke kediamannya di PPR Sri Stulang, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Aida Agil terharu terima kunjungan artis ABPBH 32

JOHOR BAHRU: Hati penyanyi era 1990-an, Aida Agil, 60, tersentuh apabila menerima kunjungan calon awal Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 (ABPBH 32), di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Stulang Laut, di sini, hari ini.

Lawatan Kanda Khairul, Ryan Deedat, Tuah Azmi, DJ Lin, Ara Johari, Luqman Faiz, Muna Shahirah, Uchop Ahmad, Adam Lee dan Afieq Shazwan ke atas penyanyi itu adalah sebahagian daripada pengisian siri jelajah ABPBH 32 yang berlangsung di Komtar JBCC, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang ini.

Rombongan misi tanggungjawab sosial korporat ke kediaman artis yang dikenali dengan lagu Segalanya Pasti itu diketuai oleh Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

“Saya sangat tersentuh hati apabila golongan artis baharu sudi berkunjung ke kediaman saya yang kecil ini.

“Pada mulanya, ketika mendengar jumlah mereka yang hendak ke mari, saya terkejut juga kerana bimbang jika tetamu tidak muat nak masuk ke rumah,” kata Aida yang masih tebal dengan sikap ramah.

Katanya juga, dia tidak menyangka ada artis masa kini yang tahu atau pernah mendengar lagu popular nyanyiannya, yang diterbitkan pada 1993 itu.

“Ada antara mereka yang saya kenal menerusi kaca TV seperti Ara Johari, Adam Lee dan Afieq Shazwan. Sebahagiannya saya kurang pasti. Maklumlah sekarang ramai artis ‘generasi budak baru nak up’ (BBNU) yang hadir dalam industri seni,” katanya.

AIDA sebak menonton video nyanyiannya yang dikongsi artis ABPBH 32 ketika mereka berkunjung ke kediamannya di PPR Sri Stulang, Johor Bahru, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Sementara itu, berkongsi kisah di sebalik lagu ciptaan Awang BPR dan lirik Zurain itu, Aida atau nama sebenarnya Aidah Agil mengakui karya berkenaan cukup meninggalkan nostalgia.

“Saya merakamkan lagu berkenaan ketika berusia 31 tahun. Dahulu, bolehlah nak tarik nada tinggi sebab memang ‘forte’ saya menyanyi lagu sebegitu.

“Dalam keadaan sekarang, saya memang tak berdaya hendak menyanyi seperti dahulu.

“Saat menonton video rasmi lagu itu buat kali pertama pun membuatkan saya sebak, apatah lagi nak menyanyikannya secara spontan di hadapan mereka,” katanya yang tinggal di PPR berkenaan sejak lapan bulan lalu bersama adik lelaki berserta isteri dan tiga anak mereka.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Aida berkata, dia masih mengharapkan bantuan ubat-ubatan.

Anak kedua daripada 11 adik-beradik itu berkata, dia jatuh sakit pada Jun 2001 dan kesannya masih terasa.

“Alhamdulillah, saya semakin sembuh biarpun belum sepenuhnya,” katanya yang menghidap penyakit Bell's Palsy, iaitu kelumpuhan muka disebabkan saraf tidak berfungsi.

"Saya masih ingat, pada permulaannya saya sakit kepala dan terus pengsan. Mungkin ketika itu, saya agak tertekan selepas tender katering di kantin sebuah kilang tamat. Semakin lama, makin teruk hingga saya tidak boleh bangun dan hanya terlantar di katil selama enam bulan.

“Sekarang saya masih meneruskan kehidupan macam biasa. Biarpun bergelar ibu tunggal, saya bersyukur kerana terus dirahmati apabila adik-beradik murah hati membantu saya,” katanya yang turut mengidap penyakit kencing manis.

Kata Aida lagi, seorang daripada adiknya bekerja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Dia ada mendaftarkan nama saya untuk mendapat bantuan kewangan. Kalau dahulu, seseorang di bawah usia 60 tahun diberi RM400 sebulan dan kini, pada usia sekarang diberi RM350 pula. Waktu raya, dapat juga duit tambahan.

“Selalunya, duit yang saya dapat ini digunakan untuk membeli suplemen,” katanya yang turut berkongsi serba sedikit petua nyanyian bersama artis muda terbabit.

Sebelum meninggalkan kediamannya, Shamsul Azree sempat menyerahkan sumbangan kilat kepada penyanyi itu, hasil kutipan anggota rombongan.

Berita Harian X