Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:00am
PENERBIT telefilem Demi Tuhan Aku Bersaksi, Fadzil Zahari. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tengok dahulu sebelum jatuh hukum - Fadzil Zahari

KUALA LUMPUR: Gara-gara kontroversi telefilem bertemakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) membabitkan pusat tahfiz, Fadzil Zahari selaku penerbit dicop warganet sebagai ahli neraka.

Katanya, mereka yang terlalu mengikut emosi dengan cepat menjatuhkan hukum tanpa mengetahui pengisian sebenar naskhah berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi itu.

Tegasnya juga, pihak terbabit membuat andaian sendiri bersandarkan maklumat yang terhad.

“Saya tiada kuasa untuk menghalang orang mencaci maki saya atau mengheret sekali keluarga saya masuk neraka, di laman sosial.

“Tetapi, saya berharap mereka yang mudah membuat penilaian sendiri itu tengok dahulu (drama terbabit) sebelum menghukum orang lain.

“Maklumat diperoleh mereka hanya daripada sekeping gambar, yang didakwa seorang individu sebagai babak hubungan songsang dalam pusat berkenaan, sedangkan ia bukan seperti diperkatakan.

“Kredibiliti RTM sendiri, sebagai stesen televisyen paling lama di negara ini, selain mempunyai panel penapisan, juga seharusnya diyakini kerana sudah pasti ia takkan diluluskan andai melanggar syarat,” katanya kepada BH Online.

Telefilem arahan Eyra Rahman itu menampilkan Syafie Naswip sebagai tunjang utama. Ia turut dilakonkan oleh Fezrul Khan, Taiyuddin Bakar, Aman Graseka serta Sheila Mambo.

Isu hangat bermula, hingga ada pihak mencadangkan supaya diadakan petisyen bagi membatalkan siarannya, apabila drama berkenaan dianggap tidak sensitif kerana memilih elemen budaya hidup songsang di dalam sebuah pusat keagamaan.


TELEFILEM Demi Tuhan Aku Bersaksi mencetuskan kontroversi apabila ada dakwaan konon ia memuatkan babak berunsur LGBT di pusat tahfiz.

Terdahulu, perkara terbabit menjadi topik perdebatan sebaik sahaja berita mengenai pelakon utamanya ditahan polis susulan kes dakwaan memukul bekas tunang.

Sementara itu, pihak Prokuya Studios selaku penerbit juga membuat siasatan dalaman berhubung penyebaran gambar dan ‘sinopsis’ Demi Tuhan Aku Bersaksi di laman maya.

Katanya lagi, pasukannya tidak perlu bimbang dengan sebarang tohmahan memandangkan segala perincian termasuk watak, perwatakan dan plot cerita sudah mendapat ‘lampu hijau’.

“Ikutkan, inilah telefilem kedua kami selepas Kapal Kertas lakonan Azhan Rani dan (Datin) Diana Danielle, beberapa tahun lalu. Prokuya Studios sebenarnya lebih banyak menghasilkan pengiklanan media dan video korporat.

“Dalam setiap projek, kami memberikan sepenuh tumpuan dan sudah pasti, aspek kualiti serta pengisian antara yang diutamakan.

“Secara peribadi, saya berpuas hati dengan persembahan semua pihak yang menunjangi Demi Tuhan Aku Bersaksi, daripada pelakon, pengarah hingga seluruh kru. Telefilem ini juga sudah saya dipertontonkan kepada beberapa kakitangan syarikat kami, hingga ada yang menitiskan air mata.

“Tidak adil kalau warganet terus menyerang kami, tanpa terlebih dahulu menyaksikannya dengan mata sendiri,” katanya sambil memaklumkan bakal bertemu pihak penyiar bagi membincangkan perkara itu, minggu depan.

Berita Harian X