Isnin, 5 Ogos 2019 | 11:00am
ADAM lebih selesa mencipta nama tanpa dipengaruhi populariti sepupunya yang juga pelakon, Janna Nick. Foto Nurul Syazan Rose Razman
ADAM lebih selesa mencipta nama tanpa dipengaruhi populariti sepupunya yang juga pelakon, Janna Nick. Foto Nurul Syazan Rose Razman

'Janna Nick tak pernah kongkong langkah saya'

JOHOR BAHRU: Pelakon yang sedang mencipta nama, Adam Lee, lebih selesa mengukir langkah perlahan-lahan dalam bidang seni tanpa dibayangi populariti sepupunya, Janna Nick.

Adam, 24, berkata, biarpun lebih berpengalaman, Janna tidak pernah mengawal atau menentukan perjalanan kerjaya seninya, malah memberinya kebebasan untuk mencorakkan sendiri langkah.

“Tidak dinafikan, kerjaya seni saya banyak disokong rakan selebriti, terutama Janna dan Sweet Qismina. Mereka berdua banyak mengajar selok-belok bidang seni, terutama ketika awal kemunculan dahulu.

“Saya menapak sejak usia 19 tahun lagi, namun baru sekarang nama saya menjadi bualan. Janna tidak pernah membuat keputusan bagi pihak saya, sebaliknya sering berkongsi pengalaman untuk membantu perkembangan kerjaya.

“Selama ini, saya tidak pernah berahsia mengenai ikatan persaudaraan kami, cuma saya tidak mahu terlalu dibayangi populariti Janna. Biarlah ambil masa, asalkan saya berusaha sendiri mencipta nama dalam bidang seni,” katanya.

Nama Adam mula diperkatakan selepas memegang watak utama dalam drama rantaian, Adam Chempaka.

ADAM (dua kiri) bersama Afieq Shazwan, Luqman Faiz dan Tuah Azmi ketika menjayakan siri jelajah ABPBH 32 di Johor Bahru, kelmarin. Foto NSTP
ADAM (dua kiri) bersama Afieq Shazwan, Luqman Faiz dan Tuah Azmi ketika menjayakan siri jelajah ABPBH 32 di Johor Bahru, kelmarin. Foto NSTP

Adam turut tercalon dalam senarai awal bagi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Mengakui sangat selesa berkawan dengan Sweet sejak berkenalan Oktober lalu, Adam yang ditemui pada siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, di sini, berkata dia tidak menyangka hubungan mereka bertukar serius.

“Alhamdulillah, saya selesa dengannya dan sedang mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Saya berani berterus terang kerana tidak mahu berdolak-dalik apabila ditanya mengenai hubungan dengan Sweet.

“Insya-Allah, sekiranya ada jodoh, saya berhasrat membawa hubungan kami ke peringkat lebih serius,” kata Adam.

Berita Harian X