Isnin, 5 Ogos 2019 | 2:39pm
Nina mengabadikan hari jadinya dengan menganjurkan majlis persandingan dengan suami, Azlan di Cheras, malam tadi. Foto FB David Teo

Nina Iskandar bersanding pada hari jadi

KUALA LUMPUR: Pelakon kelahiran Brunei, Nina Iskandar mengabadikan hari jadinya yang ke-28, semalam, dengan menganjurkan majlis resepsi perkahwinan dengan suami, Azlan Adzanan, di sini.

Majlis persandingan Nina dengan Azlan yang bernikah April lalu, disempurnakan di sebuah premis acara di Cheras, malam tadi.

Mengikut kenyataan dikeluarkan MIG Metrowealth, acara itu dihadiri keluarga dan teman rapat.

“Jadual penggambaran padat dan kekangan masa membuatkan acara resepsi yang menjadi satu-satunya majlis persandingan kami, diadakan.

“Majlis dihadiri keluarga Nina dari Brunei dan Azlan dari Johor,” kata Nina dalam kenyataan itu.

Antara rakan artis dan tenaga produksi yang hadir adalah Amar Baharin dan isteri, Amyra Rosli; Faezah Elai diiringi suami, Heykal Hanifah; Shakila Khoriri, Putri Aishah, Nazrief Nazri dan Vicha.

Turut hadir David Teo bersama isteri, Along Kamaruddin; Shah Jaszle; Zahiril Adzim; Dayang Areeda; Faradiya; Azza Elite; Maria Tunku Sabri dan Datin Fouziah Gous.

Difahamkan, Nina mengenali Azlan yang juga penolong pengarah, ketika terbabit dengan drama Setelah Cinta Itu Pergi arahan Heykal Hanifah.

Dalam kalangan kru produksi, Azlan dikenali sebagai Lan Lebah.

Berita Harian X