Rabu, 7 Ogos 2019 | 7:15pm
SYAZWAN bersama kekasih, Syawariah Zulkifli, ketika hadir pada majlis pratonton filem Warkah di Mutiara Damansara, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Syazwan, kekasih bertunang 31 Ogos

PETALING JAYA: Sepuluh tahun berkenalan, pelakon, Syazwan Zulkifly, bakal mengikat tali pertunangan dengan pramugari, Syawariah Zulkifli, pada 31 Ogos ini.

Menurut Syazwan, 32, majlis pertunangan mereka akan berlangsung di kediaman kekasihnya di Taiping, Perak.

"Kami sudah berkenalan sejak 10 tahun lalu, namun mula rapat selepas hubungan saya dengan bekas kekasih sebelum ini, putus.

“Walaupun bukan orang seni, dia sangat memahami kerjaya saya. Dia tidak pernah persoalkan jika saya pulang lewat daripada penggambaran. Dia juga tak cemburu kalau ternampak saya bergurau dengan pelakon wanita lain," katanya kepada BH Online.

Selain sampai seru, Syazwan juga memutuskan untuk membawa hubungan mereka ke peringkat lebih bermakna, mengenangkan kedua-dua orang tuanya yang semakin berusia.

"Saya memang sudah lama bersedia untuk berkahwin, cuma jodoh tak panjang. Jadi, apabila hubungan kami semakin serius dan seru pun sudah sampai, kenapa perlu ditangguhkan lagi?”

"Ketika kedua-dua orang tua masih sihat, lebih baik saya mempercepatkan majlis pertunangan ini," katanya sewaktu ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Warkah, di Mutiara Damansara, di sini.

Mengenai tempoh pertunangan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri, Juvana, ini belum menetapkan sebarang tarikh untuk mereka disatukan.

"Kami belum memikirkan soal tarikh perkahwinan. Kalau bertunang lama-lama pun saya tak kisah. Mungkin ada yang beranggapan, banyak cabaran dan dugaan akan datang jika bertunang lama-lama.

"Bagi saya pula, tiada istilah dugaan bertunang kerana kami saling mempercayai antara satu sama lain dan selebihnya saya serahkan kepada takdir," ujarnya yang turut dicalonkan pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32.

Berita Harian X