Khamis, 8 Ogos 2019 | 11:00am
SWEET menyifatkan masih terlalu awal untuk membawa hubungannya dan Adam Lee ke fasa lebih serius. Foto IG Sweet Qismina

Cukup peminat tahu kami rapat - Sweet Qismina

KUALA LUMPUR: “Kami berkawan dan sedang mengenali hati budi masing-masing, tetapi belum ada perancangan untuk membawa hubungan ini ke peringkat lebih serius.

“Cukuplah peminat tahu saya dan Adam Lee rapat, lagipun saya tidak mahu terlalu kerap bercerita mengenai kisah peribadi. Bukan apa, ramai yang beranggapan, kebiasaannya hubungan selebriti tidak lama,” kata pelakon, Sweet Qismina.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Hikayat Putera Shazlan itu berkata, dia bersyukur peminat positif menerima hubungan baiknya dengan Adam, terutama selepas bergandingan dalam Adam Chempaka.

“Setakat ini, peminat menyambut baik hubungan kami, malah mereka seronok apabila tahu kami rapat. Sepanjang Adam Chempaka ditayangkan, peminat sentiasa menyokong setiap kali kami memuat naik gambar bersama untuk mempromosikan drama itu.

“Alhamdulillah, tiada yang membenci, terutama apabila Adam membuat pengakuan, kami memang rapat. Kami memang selesa berkawan, namun terserah kepada peminat untuk membuat andaian,” kata pemilik nama lengkap Farhanna Qismina Supandi itu.

Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu berkata, dia selesa berkawan dengan jejaka tinggi lampai itu selepas beberapa kali berlakon bersama.

Di samping berlakon dan mengacara, Sweet turut membahagikan masa melunaskan pengajian Diploma Asas Seni yang masih berbaki tiga semester.

Katanya, dia memilih untuk menolak beberapa tawaran lakonan bagi memberikan tumpuan kepada bidang pelajaran.

“Saya harus memberikan tumpuan penuh kerana ingin menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan. Saya juga sanggup ketepikan seketika tawaran berlakon untuk memberikan fokus kepada pelajaran.

“Lagipun, saya bakal menjalani latihan industri pada tahun depan. Memang agak mencabar, namun saya teruja meniti pengalaman baharu yang akan mematangkan lagi diri dan pemikiran,” katanya.

Berita Harian X