Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:00am
EYLIA merangkul lima pingat ketika bersaing pada kemuncak WCOPA di California, baru-baru ini. Foto Khairul Azhar Ahmad

Eylia banggakan negara raih lima pingat di WCOPA

KUALA LUMPUR: Bakat muda, Eylia Eyre Guntabid menyifatkan, kejayaan merangkul lima pingat pada pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA), baru-baru ini sebagai pemacu permulaan langkahnya dalam bidang seni.

Eylia, 17, memenangi empat pingat emas menerusi kategori Vokal R&B, Dunia, Terbuka dan Gospel, manakala satu pingat perak pula diraih dalam kategori Vokal Broadway.

Pertandingan itu berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat bermula 12 hingga 21 Julai lalu.

“Kemenangan ini, secara tidak langsung membakar semangat saya untuk mengejar cita-cita sebagai penyanyi profesional.

“Ini kali pertama saya bersaing di luar negara. Memang saya gementar kerana saya membawa harapan besar negara. Pasti saya meletak harapan untuk merangkul kemenangan, sekali gus membanggakan nama Malaysia,” katanya.

Eylia berkata, tidak mudah untuk dia meraih kejayaan, tambahan pula, peserta tidak mempunyai banyak masa ketika beraksi di pentas.

“Kami hanya diberikan seminit untuk membuat persembahan. Dalam tempoh singkat itu, kami perlu meyakinkan juri keistimewaan bakat masing-masing, pada masa sama menawan gementar kerana bersaing dengan peserta dari 72 negara lain.

“Tekanannya memang hebat, tetapi ia tidak menghalang saya berusaha mempamerkan kelebihan yang ada. Syukur apabila saya membawa pulang lima pingat,” katanya.

Juara Bintang Remaja RTM Sabah itu berkata, dia juga bersyukur langkahnya dalam bidang nyanyian dipermudahkan apabila dilamar menyertai Broadway Entertainment.

Elylia mengakui, tidak menyangka bakatnya mendapat perhatian syarikat rakaman itu selepas menyertai pertandingan Sugandoi Kaamatan 2019 di Sabah.

“Saya hanya merangkul naib johan, tetapi komposer, Asmin Mudin tertarik dengan bakat saya, lalu memperkenalkan kepada pengurusan Broadway Entertainment.

“Saya harap dengan bantuan mereka, terutama pengalaman pemilik syarikat itu, Boon Tan membantu saya melangkah lebih jauh dalam industri muzik,” katanya.

Eylia bakal muncul dengan single pertama, Aku Masih Cinta, ciptaan Jasni, manakala lirik Mah, tidak lama lagi.

Berita Harian X