Sabtu, 10 Ogos 2019 | 6:00pm
NABILA meniru gaya selebriti, Rozita Che Wan, ketika mengacarakan sebuah program televisyen, semalam. - Foto Instagram Nabila Huda
NABILA meniru gaya selebriti, Rozita Che Wan, ketika mengacarakan sebuah program televisyen, semalam. - Foto Instagram Nabila Huda

Nabila seronok tiru gaya Che Ta

KUALA LUMPUR: Tampil berbeza saban minggu bagi menggalas tugas mengacara, aktres, Nabila Huda, mencuri perhatian ramai apabila menggayakan pakaian milik Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, semalam.

Nabila berkata, dia mendapat inspirasi untuk meniru gaya pelakon sensasi itu apabila stadium dipilih sebagai lokasi pengacaraan.

Sebelum ini, gaya Che Ta menonton perlawanan bola sepak pernah menjadi bualan hangat warganet kerana dia hadir dengan pakaian berkilauan dan kasut tumit tinggi.

“Saya mendapat idea untuk menjadi Che Ta apabila pengacaraan pada minggu ini berkaitan stadium. Takkan saya mahu menjadi pemain bola sepak atau jurulatih? Jadi, saya tampil dengan kelainan. Apatah lagi, Che Ta berbesar hati meminjamkan baju, tudung, perhiasan, beg tangan dan kasut kepada saya.

“Bukan itu sahaja, saya turut mengenakan solekan bagi memastikan wajah sama dengan Che Ta... Cuma tona kulit yang berbeza. Seronok juga kerana dapat bertukar-tukar karakter setiap minggu. Saya tidak hanya terikat dengan satu gaya ketika bekerja.

“Saya pula tidak pernah bermimpi untuk bekerja dengan produksi yang bagus, apatah lagi masih hijau dalam bidang pengacaraan. Nabil juga turut memainkan peranan sebagai gandingan hos, jadi tidak rasa seperti penat bekerja. Nantikan gaya saya pada minggu hadapan pula,” katanya kepada BH Online.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Muzikal Lawak Superstar, Nabila juga pernah muncul sebagai jurujual alat solek, tukang cuci dan beberapa karakter lain.

Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Aidiladha tahun ini, anak Amy Search ini teruja apabila dapat menyediakan juadah raya buat ibu bapa mereka, bersama adik-beradiknya.

“Tidak sabar rasanya kerana pada tahun ini, saya yang akan berhempas pulas di dapur menyediakan juadah raya di rumah papa. Keesokannya pula saya akan ke rumah mentua di Shah Alam. Begitulah rutinnya.

“Saya perlu mencuri masa kerana tidak sangka, jadual kerja penuh pula pada bulan ini. Selain menjalani latihan teater muzikal Ola Bola, saya bakal memasuki penggambaran filem Rempit 2 arahan Datuk Farid Kamil pada 23 Ogos depan,” kata Nabila yang juga calon awal ABPBH 32.

Berita Harian X