Khamis, 15 Ogos 2019 | 4:24pm
HISYAM disangka baru menimang anak ketiga apabila sering berkongsi gambar bersama seorang bayi di Instagram. Foto IG Hisyam Hamid

Ramai pula ucap tahniah - Hisyam Hamid

KUALA LUMPUR: Sering berkongsi gambar bersama seorang bayi di Instagram mencetuskan persoalan, apakah Hisyam Hamid dan isterinya, Melrose Hanafi baru menimang cahaya mata.

Perkongsian itu juga kata Hisyam, 34, membuatkan dia dan isteri sering menerima ucapan tahniah kerana ramai beranggapan, mereka baru dikurniakan anak ketiga.

“Isteri, terutamanya kerap menerima ucapan tahniah kerana ramai menyangka, dia baru bersalin. Tambahan pula, kebelakangan ini, dia jarang memuat naik perkongsian terbaru di media sosial.

“Sebenarnya, bayi itu ialah anak buah yang dijaga oleh ibu saya. Memandangkan saya memang suka budak-budak, jadi seronok berkongsi gambar bersamanya.

“Tidak sangka pula ada yang membuat andaian, saya menimang cahaya mata baharu, sedangkan saya tidak pernah berkongsi berita isteri hamil lagi. Saya hanya tersenyum setiap kali menerima ucapan tahniah.

“Kebetulan, saya banyak meluangkan masa di Singapura untuk menguruskan perniagaan, selain memenuhi tawaran kerja di sana. Apabila ada kelapangan, saya seronok melayani kerenah anak saudara,” katanya.

Mendirikan rumah tangga dengan Melrose yang bertindak sebagai pengurusnya sejak 13 tahun lalu, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Nurish Syameliah dan Hayden.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Hisyam berkata, dia bakal muncul dengan filem seram, Dendam Pontianak arahan Gavin Yap dan Glen Goei yang bakal ditayangkan bermula 12 September ini.

“Saya tidak mahu terikat hanya dengan satu watak, sebaliknya mencabar diri mencuba pelbagai karakter yang menguji kemampuan.

“Kali ini, saya terbabit dalam filem seram dan ia memberikan pengalaman bermakna apabila diberi peluang bekerjasama dengan barisan pelakon hebat,” katanya.

Selain Hisyam, Dendam Pontianak turut menampilkan Fazura, Remy Ishak, Shenty Feliziana dan Tony Eusoff.

Berita Harian X