Ahad, 18 Ogos 2019 | 1:00pm
CALON Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 32, Adam Lee.- NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
CALON Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 32, Adam Lee.- NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Adam Lee dan Sweet Qismina, kini dalam fasa kenali hati budi. - NSTP/Mahzir Mat Isa
PELAKON, Adam Lee dan Sweet Qismina, kini dalam fasa kenali hati budi. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Adam Lee sedia terima jodoh dengan Sweet Qismina

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Lee, 25, tidak menolak andai bertemu jodoh dengan teman seperjuangan, Sweet Qismina.

Kata Adam yang juga calon Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, ketika ini dia dan pelakon wanita terbabit dalam fasa mengenali hati budi.

“Saya mengaku rapat dengannya sekarang. Saya juga tidak berselindung mengenai perkara itu di Instagram. Peminat sendiri boleh nampak, saya bersikap terbuka mengenai hubungan kami.

“Bagaimanapun, kami masih lagi pada peringkat mengenali hati budi. Jika ada rezeki untuk hubungan ini melangkah lebih jauh, mengapa tidak?” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman calon Top 5 ABPBH 32 di Tamu Hotel & Suites, di sini.

Ditanya apakah dia bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda, Adam berkata, andai itulah aturan Tuhan, dia dengan penuh reda menerima ketentuan-Nya.

“Cuma, buat waktu ini masing-masing sibuk memantapkan kedudukan ekonomi. Kami juga masih muda, jadi saya dan Sweet tidak terkejar-kejar ke arah itu,” katanya sambil memaklumkan, peminat memberikan ‘restu’ terhadap hubungan terbabit.

Adam dan Sweet, 21, berkenalan kira-kira setahun lalu dan hubungan mereka mula diperkatakan selepas bergandingan dalam drama rantaian, Adam Chempaka, siaran TV3.

Menyentuh pencalonannya pada ABPBH 32, Adam yang bersaing dengan Afieq Shazwan, Iswan Ismail, Raja Atiq dan Ryan Deedat terhutang budi pada peminatnya, terutama daripada kelab Adamleenizers.

“Dicalonkan pada peringkat awal pun sudah menggembirakan saya, apatah lagi berada dalam senarai Top 5. Ia memang sesuatu yang tidak dijangka. Semua ini hasil usaha peminat yang tidak jemu memberikan sokongan,” katanya.

Adam turut melihat pencalonan pada anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu sebagai peluang memacu kerjaya seninya ke tahap lebih bermakna.

Berita Harian X