Isnin, 19 Ogos 2019 | 9:00am
REMY bimbang babak panas yang dijayakan dalam Dendam Pontianak mencetuskan salah faham penonton. Foto Rohanis Shukri

Remy Ishak risau lakon babak panas

KUALA LUMPUR: Ketika ini, debaran dan keterujaan menguasai Remy Ishak apabila dua filem lakonannya, Sangkar serta Dendam Pontianak, masing-masing akan menjengah pawagam berselang dalam masa terdekat.

Sangkar yang bercorak aksi bakal menemui penonton mulai 29 Ogos ini, disusuli filem seram, Dendam Pontianak yang akan menghantui panggung wayang pada 12 September depan.

Sebagai pemegang watak utama, perasaan Remy bercampur-baur, terutama apabila memikirkan reaksi penonton terhadap babak panas lakonannya dalam Dendam Pontianak.

Menurut Remy, meskipun babak dilakonkannya itu tidak sehingga mencetuskan kontroversi, terbit juga perasaan bimbang dalam dirinya jika penampilannya itu kurang disenangi penonton.

“Dalam filem itu, saya perlu melakonkan adegan mesra dengan Shenty (Feliziana) yang menjadi isteri saya. Babak itu penting kerana ia menggambarkan sudut pandangan pontianak terhadap aksi kami.

“Babak itu sebenarnya tidaklah sepanas mana dan masih boleh diterima penonton. Tetapi, memandangkan saya belum pernah berlakon babak seperti itu, bimbang juga jika ada peminat yang kurang senang,” katanya.

Remy berkata, sebagai pelakon, dia tidak bimbang sekiranya dikecam, namun lebih gusar sekiranya lakonannya itu mencetuskan isu yang berterusan diperdebatkan penonton.

Justeru, kata Remy, dia turut memberikan pandangan sebelum melakonkan babak terbabit supaya tiada perkara berbangkit berlaku apabila filem itu ditayangkan.

“Sebagai pelakon, saya turut memberi pendapat memandangkan kedua-dua pengarah filem itu bukan Melayu. Saya perlu memberi penjelasan mengenai budaya kita.

“Mujur mereka sangat terbuka dan boleh menerima pandangan saya. Bukan apa, saya tidak mahu perkara itu membuatkan saya disalahertikan,” kata pemilik nama lengkap Mohammad Zalimei Ishak itu.

Sebelum ini, pernah timbul cakap-cakap nakal apabila dia dikatakan sengaja menayangkan susuk tubuh sasanya apabila tidak berbaju dalam Sangkar sebagai umpan menarik penonton ke pawagam.

Menyangkal tanggapan itu, Remy berkata, dia melakukannya semata-mata kerana memenuhi tuntutan watak. Apatah lagi, Sangkar yang dilakonkannya berkisar mengenai seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Remy antara nama yang menyerlah dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 apabila meraih lima pencalonan, termasuk dua kategori utama iaitu Pelakon Filem Lelaki Popular dan Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa.

Tiga lagi pencalonan diraihnya menerusi kategori online iaitu dua pencalonan bagi Gandingan Serasi Drama Popular, masing-masing menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Pujaan Hati Kanda bersama Mira Filzah.

Dia dan Mira turut menerima pencalonan bagi kategori Gandingan Serasi Filem menerusi Rise Ini Kalilah.

Berita Harian X