Isnin, 19 Ogos 2019 | 3:45pm
NADIA dan Muizz bakal disatukan pada 9 November depan di Subang Jaya. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Nadia Brian pasang badan sebelum naik pelamin

KUALA LUMPUR: Bakal mendirikan rumah tangga pada 9 November depan, pelakon Nadia Brian, mengakui, jadual hariannya agak padat, termasuk melakukan persediaan menjelang hari bahagianya.

Namun, dalam kesibukan itu, Nadia, 28, tetap mencari masa ke gimnasium untuk memastikan kesihatan dan stamina berada pada tahap terbaik.

“Saya buat semua itu bukan semata-mata untuk kelihatan cantik pada hari pernikahan nanti, sebaliknya lebih kepada penjagaan kesihatan.

“Kerjaya sebagai anak seni menuntut stamina yang tinggi, selain perlu kelihatan menarik sama ada di skrin televisyen atau di luar.

“Seronok juga apabila tunang, Muizz Nasruddin turut berminat melakukan aktiviti sama. Sebelum ini, dia lebih cenderung bermain bola sepak, tetapi mula ke gimnasium selepas melihat saya begitu aktif dengan aktiviti kecergasan.

“Saya jadi lebih bersemangat apabila ada teman, tambahan pula dia juga mahu kelihatan segak pada hari bahagia kami nanti. Dia begitu bersungguh-sungguh bersenam untuk mendapatkan susuk tubuh segak,” katanya.

Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi akan melangsungkan perkahwinan dengan Muizz pada 9 November depan, selepas perancangan asal untuk disatukan pada 9 September ini ditunda kerana masalah lokasi.

Pasangan itu bertunang pada 4 Mei lalu dalam satu majlis di Shah Alam, Selangor.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai apabila kami menemui lokasi yang sesuai di Subang Jaya. Sebelum ini, serba tidak kena jadinya selagi kami tidak jumpa lokasi yang dimahukan.

“Mengikut perancangan, kami akan bernikah pada sebelah pagi, disusuli majlis resepsi di tempat yang sama pada malamnya.

“Memandangkan keluarga kami masing-masing menetap di ibu negara, kami sepakat untuk mengadakan hanya satu majlis resepsi. Ia lebih mudah dan alang-alang penat, biar kami lalui sekali harung,” katanya.

Pelakon drama Cinta Tanpa Henti itu berkata, biarpun sibuk menguruskan hari perkahwinannya, dia masih menerima tawaran berlakon.

Terbaru, Nadia sibuk di lokasi penggambaran drama, Lelaki Ku Yang Dulu yang diterajui Nelydia Senrose dan Sharnaaz Ahmad. Penggambaran drama itu dijangka berakhir, bulan depan.

Berita Harian X