Khamis, 22 Ogos 2019 | 5:22pm
OZLYNN teruja dapat berkongsi pengalaman bersama suami dalam pementasan teater arahan Erma Fatima, Pawana Isabella. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Erma macam mak tiri - Ozlynn Waty

KUALA LUMPUR: Pelakon Ozlynn Waty menyifatkan, pembabitannya dalam pementasan teater Pawana Isabella memberi perspektif baharu dalam kerjaya lakonannya.

Ketelitian Erma Fatima sebagai pengarah, membuatkan dirinya sentiasa tercabar untuk membuktikan kemampuan kerana mahu persembahannya memuaskan hati tenaga produksi.

“Sangkakan saya sudah memberikan lakonan yang terbaik, namun ada sahaja yang tidak kena pada matanya. Di tempat latihan, kak Erma seperti emak tiri, namun saya tidak terasa hati.

“Cara dia menegur, membuka mata saya supaya sentiasa berusaha memperbaiki diri. Dia tidak mahu kami tersasar kerana berlakon di pentas teater mementingkan kesempurnaan bagi mengelak daripada membuat silap.

“Saya suka apabila ditegur kerana ia secara tidak langsung, mengingatkan saya supaya tidak cepat puas hati,” katanya.

Menerusi teater yang kini dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 31 Ogos ini, Ozlynn atau nama lengkapnya Rozlinawaty Ismail, 36, memegang watak sebagai Inang Merong.

Pawana Isabella turut membariskan pelakon seperti Syafiq Kyle, Janna Nick, Datuk Afdlin Shauki, Azar Azmi dan Johan Raja Lawak.

“Sebelum ini, saya hanya terbabit dalam pementasan teater kecil. Apabila kak Erma menawarkan watak dalam teater ini, saya tidak mampu menolak. Tambahan pula, sudah lama saya tidak beraksi di pentas teater.

“Paling mengujakan, suami saya turut berlakon sama. Saya kagum dengan kesungguhan kak Erma memujuk Johan kerana teater ini memerlukan komitmen panjang dan suami juga tidak gemar menghafal skrip yang berjela-jela.

“Sejak terbabit dalam Pawana Isabella, saya lihat dia semakin jatuh hati dengan lakonan teater. Dia juga sudah mula faham tuntutan sebagai pelakon teater dan semakin menguasai cara untuk menjiwai watak,” katanya.

Berita Harian X