Ahad, 25 Ogos 2019 | 4:54pm
ATIQ rela hilang tawaran berlakon daripada melanggar prinsip yang menjadi pegangan sejak mencipta nama sebagai pelakon. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Atiq Azman rela tidak berlakon demi pertahan prinsip

ALOR SETAR: Pelakon, Atiq Azman, mengakui rela hilang tawaran berlakon apabila berpegang teguh dengan prinsip untuk tidak melakonkan babak bersentuhan.

Atiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Atiqullah Shah berkata, walaupun mungkin akan ada yang memandang sinis prinsipnya itu, dia enggan menjadi hipokrit semata-mata kerana mahu menjaga perasaan orang lain.

“Saya tetap mempertahankan prinsip ini, walaupun mengetahui ia akan membuatkan saya hilang banyak tawaran.

“Tidak mengapa kerana saya percaya rezeki ada di mana-mana. Kalau bukan dalam bidang seni, mungkin rezeki itu datang dalam bentuk lain asalkan saya tidak jemu berusaha,” katanya.

Sebagai bekas pelajar sekolah tahfiz, finalis Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke- 32 itu berkata, dia perlu menjaga tingkah laku supaya nama dan tempat dia menerima pendidikan tidak terheret dalam kontroversi.

“Saya perlu menjaga nama baik tempat saya belajar. Kalau boleh, saya tidak mahu terbabit dalam sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan reputasi dan maruah ibu serta bapa saya,” katanya ketika ditemui pada acara siri jelajah kedua ABPBH 32 yang berlangsung di Aman Central, di sini, semalam.

Kali pertama menjadi finalis dan menyertai acara promosi ABPBH, pelakon berusia 19 tahun itu mengakui, seronok kerana ia bukan sahaja merapatkan jurang antara artis dan peminat, tetapi juga mengeratkan silaturahim sesama selebriti.

“Walaupun berada dalam satu industri, tidak semua kita kenal kerana cabang seni kami tidak sama. Justeru, peluang menyertai siri jelajah promosi ABPBH tidak harus dilepaskan kerana menerusi acara seperti ini, kita dapat berkenalan dengan finalis lain, di samping beramah mesra dengan peminat,” katanya.

Menerusi kategori itu, Atiq berdepan saingan daripada Afieq Shazwan, Adam Lee, Iswan Ismail dan Ryan Deedat.

Berita Harian X