Rabu, 28 Ogos 2019 | 1:00pm
ZUL hanya bersedia mendedahkan identiti bakal isteri apabila tiba masanya kelak. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Zul Ariffin perbetul diri untuk bimbing bakal isteri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zul Ariffin yang merancang tamatkan zaman bujangnya, tahun depan mahu terlebih dahulu melakukan perubahan pada diri sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Zul, 33, berkata dia tidak mahu terus terperangkap dengan perangai lama kerana perkahwinan menuntut komitmen dan tanggungjawab besar, terutama bagi lelaki sebagai ketua keluarga.

“Saya tidak mahu pasangan teraniaya jika saya masih terbawa-bawa dengan perangai lama. Begitu juga dalam soal lakonan, saya perlu lebih selektif bagi menghormati perasaan pasangan.

“Banyak pengorbanan perlu saya lakukan sebagai persediaan menjadi suami,” katanya.

Pelakon yang bakal muncul dengan filem Sangkar itu berkata, dia kini bekerja keras memastikan kedudukan kewangannya stabil.

“Saya bukan jenis lelaki yang mengharapkan duit perempuan. Kalau boleh, saya mahu menyediakan kelengkapan rumah tangga dengan duit sendiri. Jadi, segala persediaan saya lakukan dari sekarang.

“Siapa gerangan bakal isteri, saya akan beritahu kelak. Tidak perlu berteka-teki kerana tiba masa saya akan perkenalkan kepada semua. Apa yang dapat dikatakan, gadis istimewa ini akan mengejutkan ramai.

“Saya pandang tinggi soal perkahwinan dan mahu melangkah ke alam rumah tangga dengan penuh rasa tanggungjawab. Jadi, saya harus perbetulkan diri, termasuk menjauhi perkara yang tidak enak pada pandangan mata,” katanya.

Anak kelahiran Taiping, Perak itu juga berkata, dia merancang mengadakan upacara akad nikah di dalam negara, namun memilih Bali, Indonesia sebagai lokasi resepsi.

“Untuk majlis resepsi, saya serahkan kepada pihak perempuan. Saya juga ada majlis perkahwinan impian, mungkin saya pilih Bali. Tidak perlu majlis besar-besaran, sebaliknya memadai bersederhana.

“Jangan bimbang, saya tidak akan berahsia mengenai hari bahagia,” kata Zul, mengakui turut mempersiapkan diri mendalami agama untuk membimbing bakal isterinya.

Mengulas karya terbaru lakonannya, Sangkar, Zul berkata, filem arahan Kabir Bhatia itu membabitkan 50 peratus adegan pertarungan dan pergaduhan.

“Saya berdepan banyak kecederaan, termasuk lebam dan terseliuh ketika penggambaran. Saya juga terpaksa memakai pembalut lutut kerana otot terkoyak ketika melakukan babak pertarungan.

“Sebelum ini, saya pernah tercedera ketika membintangi J Revolusi dan Tombiruo, jadi sakit itu datang semula apabila saya melakukan babak pertarungan.

“Saya tidak suka menggunakan khidmat pelakon aksi ngeri. Bayangkan, ada lima kamera disediakan sekeliling, sudah tentu ‘kantoi’ apabila nampak muka pelakon aksi ngeri,” katanya mengenai filem yang bakal memasuki pawagam esok.

Berita Harian X