Khamis, 29 Ogos 2019 | 11:00am
SITI diselar segelintir warganet gara-gara kerap berkongsi foto dan rakaman video anaknya di laman sosial. Foto Luqman Hakim Zubir
SITI diselar segelintir warganet gara-gara kerap berkongsi foto dan rakaman video anaknya di laman sosial. Foto Luqman Hakim Zubir

'Salah ke obses dengan anak sendiri?'

PUTRAJAYA: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menepis tanggapan segelintir pihak yang menyifatkan dirinya obses apabila sering berkongsi foto dan video puteri kesayangan, Siti Aafiyah Khalid di laman sosial.

Siti, 40, sebaliknya berkata, dia menjadikan laman sosial, terutama Instagram dan YouTube sebagai arkib untuk menyimpan segala rakaman momen manis yang boleh dirujuk semula pada kemudian hari.

“Siti tidak obses dengan anak sendiri, malah rasanya, Siti juga tidak terlalu kerap memuat naik gambar dan rakaman video Aafiyah seperti yang diperkatakan warganet.

“Jika ada momen menarik dan perlu, Siti akan kongsi. Siti juga akan selang-selikan muat naik paparan dengan aktiviti seni. Lagipun, rasanya bukan kesalahan jika Siti obses dengan anak sendiri.

“Selama 11 tahun Siti nanti kehadiran Aafiyah dan hanya pada usia 39 tahun, baru Siti dikurniakan cahaya mata. Mungkin mereka yang tidak puas hati itu mempunyai anak ramai. Jadi, mereka tidak teruja seperti yang Siti rasakan ketika ini,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana itu, biarpun sibuk dengan urusan kerja, seboleh mungkin dia tidak mahu ketinggalan menyaksikan proses tumbesaran buah hatinya itu.

“Selalu Siti berpesan kepada pengasuh supaya rakam apa sahaja gelagat Aafiyah. Apabila sibuk bekerja, kadang-kadang ada perkara yang Siti ketinggalan. Balik rumah, tengok Aafiyah sudah pandai itu dan ini.

“Untuk tidak menyesal, Siti rasa rakaman seperti itu perlu. Siti lebih suka jika rakaman dimuat naik di laman YouTube. Selain durasinya yang panjang, ia juga boleh ditonton pada bila-bila masa.

“Jika hanya simpan di telefon bimbit, bila-bila masa boleh hilang, terutama jika peranti itu bermasalah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kayuhan Wanita 2019 yang menampilkannya sebagai Ikon Selebriti.

Mengulas pembabitannya dalam acara itu, Siti berkata, sebagai ikon, dia ditugaskan mempromosikan program yang bakal berlangsung pada 26 Oktober ini di Putrajaya.

“Kalau boleh, Siti mahu 3,000 peserta mengayuh basikal pada hari itu. Bagi mereka, golongan selebriti lebih mudah menarik perhatian orang ramai menyertai acara ini. Harapan Siti, ia mendapat sambutan ramai,” katanya.

Berita Harian X