Khamis, 29 Ogos 2019 | 5:43pm
AMIRA berharap dunia nyanyian yang diceburi membawa manfaat kepada masyarakat. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Amira tak mahu menyanyi 'kosong'

KUALA LUMPUR: Biarpun berdepan ujian ketika menyempurnakan Rukun Islam kelima, baru-baru ini, penyanyi Amira Othman bersyukur, impian menunaikan haji pada usia muda dimakbulkan Allah SWT.

Berkongsi pengalaman selama sembilan hari di Tanah Suci Makkah, Amira, 26, berkata dia diuji apabila kakinya sakit setiap kali pulang ke hotel penginapan.

“Mungkin saya terlalu banyak berjalan di sana menyebabkan kaki saya sakit. Saya anggap ia sebagai ujian kecil untuk lebih menghayati kebesaran Allah SWT.

“Namun, setiap kali sebelum melakukan ibadat, saya berdoa semoga urusan dipermudahkan. Alhamdulillah, kesakitan pada bahagian kaki itu terus hilang,” katanya.

Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman ditemui pada majlis pelancaran lagu duetnya bersama Sufian Suhaimi, Takkan Merubah, semalam.

Lagu ciptaan Farouk Roman, manakala lirik Amylea itu terpilih menjadi runut bunyi (OST) filem Motif yang bakal ditayangkan bermula 26 September ini.

Sementara itu, Amira berkata, dia juga berdoa kerjaya seni yang diceburinya turut memberi manfaat kepada orang lain.

“Saya tidak mahu sekadar menyanyi untuk menghiburkan orang ramai semata-mata, sebaliknya berdoa usaha saya itu akan membawa kebaikan kepada semua,” katanya.

Penyanyi lagu Hati-Hati itu juga berkata, dia tidak pernah menyangka memperoleh peluang berharga ke Tanah Suci apabila dipelawa rakan selebriti, Wany Hasrita.

“Pada permulaan, saya agak ragu-ragu untuk menerima tawaran itu memandangkan saya masih belum cukup ilmu. Tanpa saya sedar, Allah permudahkan semua urusan.

“Saya sampai sekarang masih tidak percaya sudah bergelar hajah. Saya seru kepada semua, terutama golongan muda yang berkemampuan supaya menunaikan ibadat haji ketika tubuh masih kuat. Insya-Allah, urusan kita akan dipermudahkan,” katanya.

Berita Harian X