Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:00pm
PENYANYI, Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie pada sidang media Konsert Awie Romantika, di ibu kota. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Syukur bukan sakit barah - Awie

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Awie, reda apabila dikhuatiri mengidap kanser perut hingga perlu menjalani ujian klinikal di sebuah hospital, di sini, November tahun lalu.

Begitupun, kata Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 51, sampel yang kemudian dihantar ke Melbourne, Australia, bagi mendapatkan keputusan sahih menunjukkan dirinya bebas daripada penyakit berbahaya itu.

Akuinya, keadaan perutnya semakin kronik apabila terus membesar selepas pulang daripada mengerjakan umrah, hujung tahun lalu, selain pernah tidak sedarkan diri berikutan terlalu sakit.

"Sudah banyak kali saya keluar masuk hospital akibat bengkak kaki dan perut, terutama ketika bakal menjayakan konsert besar. Ketika itu, saya dan Wings sudah mengumumkan Konsert Laksamana Metal.

"Paling teruk adalah tiga hari selepas balik daripada mengerjakan umrah. Perut saya membusung dan belakang saya terasa seperti dicucuk keris. Saya tidak boleh duduk atau baring. Doktor maklumkan, saya mempunyai masalah slip disc.

"Jadi, saya kembali ke hospital untuk menjalani ujian. Di sana, doktor mengesan tiga tompokan dalam perut yang dikhuatiri tanda sel kanser, sebelum sampel dihantar ke Australia. Alhamdulillah, pakar di sana mengesahkan ia bukan barah," katanya pada sidang media Konsert Awie Romantika di sini, hari ini.

Mengakui dugaan sedemikian tidak memudarkan semangatnya, vokalis Wings berkenaan sebaliknya teruja menunggu tarikh 15 Februari depan bagi menjayakan konsert solo.

Berhasrat merealisasikan sebuah persembahan mega ala teaterikal, konsert yang diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-25 sebagai penyanyi solo itu juga bakal menampilkan artis lain.

"Hasil perbincangan dengan rakan strategik, UK Global dan Atirox Ltd, kami mahu menyelitkan sedutan filem bersesuaian dengan tema pada konsert itu dan tentunya ada juga persembahan paduan suara bersama artis wanita.

"Sekarang, antara nama yang ada dalam fikiran ialah Erra Fazira kerana saya pernah mengundangnya ke konsert Wings, sebelum ini, selain Ziana Zain. Ada juga hasrat untuk menjemput penyanyi seberang. Apa pun, semuanya masih dalam perincian," katanya lagi.

Konsert Awie Romantika 2020 dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor, pada 15 Februari 2020, jam 8 malam.

Berita Harian X