Khamis, 29 Ogos 2019 | 9:26pm
NEELOFA dan keluarga berjanji untuk sentiasa berada di belakang kakaknya dalam apa juga situasi. Foto Nurul Shafina Jemenon

Saya sokong apa sahaja keputusan kakak - Neelofa

KUALA LUMPUR: “Nabila sudah mengharungi pelbagai dugaan (dalam hidup), jadi tidak adil untuk saya menghakimi fasa yang sedang dilaluinya ketika ini.

“Apa yang saya boleh cakap, dia sangat kuat dan berhak mendapat yang terbaik,” kata Neelofa ketika diminta mengulas mengenai status rumah tangga kakaknya, Noor Nabila Mohd Noor dan pelakon, Sharnaaz Ahmad.

Spekulasi rumah tangga pasangan itu kembali hangat diperkatakan apabila Nabila memuat naik gambar hadapan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerusi InstaStory, beberapa jam lalu.

“Saya tahu, saya pasti menjadi orang pertama ditanya mengenai perkara itu kerana kami tinggal serumah. Tetapi, tidak adil untuk saya mengulas mengenai rumah tangga mereka.

“Sebagai adik, saya mahu semua orang tahu, saya menyokong apa sahaja keputusan yang membuat kakak gembira. Saya, keluarga dan rakan sentiasa berada di belakangnya dalam apa juga situasi,” katanya.

Ditanya lebih lanjut mengenai persepsi warganet berhubung gambar yang dimuat naik kakaknya itu, Neelofa berkata, orang luar bebas membuat apa sahaja spekulasi.

“Itu perkara normal dan saya yakin, Nabila dapat mengendalikannya dengan baik. Dia pasti tahu buruk baik setiap tindakan yang dilakukan. Nantikan sahaja...,” kata pengacara program MeleTOP itu.

Rumah tangga pasangan yang berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor itu pernah dilanda kontroversi, Februari lalu selepas mereka sering memuat naik kata-kata sedih menerusi laman Instagram masing-masing.

Berita Harian X