Sabtu, 31 Ogos 2019 | 11:00am
PELAKON, Nadia Brian, ketika menghadiri acara pertunjukan fesyen di ibu negara, baru-baru ini. - Foto Instagram Nadia Brian

Nadia tiada niat persenda agama

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadia Brian, 28, memohon maaf andai cara pemakaiannya yang dikatakan semakin seksi menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

Kata bintang Ratu Kala Jengking itu, biarpun ada yang kurang menyenangi penampilannya, sehingga menuduh dirinya mempersendakan agama, Nadia mendakwa dia tidak berlebih-lebih atau melanggar batasan dalam bergaya.

“Saya meminta maaf andai ada yang menganggap fesyen saya gayakan mempersendakan agama dan sebagainya. Saya tidak pernah terfikir sehingga ke tahap itu. Cuma, saya memang gemar menggunakan pendekatan ‘mix and match’ dalam berfesyen.

“Biasalah, bukan semua orang menyukai perkara kita lakukan. Saya amat maklum mengenai hal itu. Jadi, sekali lagi saya memohon maaf sekiranya ada yang tidak menyenangi pakaian saya gayakan.

“Isu seksi juga bukan perkara baharu buat saya. Sejak dahulu, saya sering terpalit dengan kontroversi sebegini. Keluarga turut maklum mengenai gaya pemakaian saya,” katanya kepada BH Online.

Pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi ini menegaskan, walaupun cara pakaiannya dianggap seksi, ia tidak kelihatan terlalu murahan.

Sementara itu, pelakon drama Cinta Tanpa Henti itu berkata, biarpun sibuk menguruskan majlis perkahwinannya, dia masih menerima tawaran berlakon.

Terbaru, Nadia sibuk di lokasi penggambaran drama, Lelaki Ku Yang Dulu, yang diterajui Nelydia Senrose dan Sharnaaz Ahmad.

Nadia bakal melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Muizz Nasruddin, pada 9 November depan. Perancangan asal untuk berbuat demikian pada 9 September ini terpaksa ditunda berikutan masalah lokasi.

Pasangan itu bertunang pada 4 Mei lalu dalam sebuah majlis di Shah Alam, Selangor.

Berita Harian X