Ahad, 1 September 2019 | 5:41pm
Nadzmi dan Ardell selamat bernikah di kediaman keluarga Ardell pada jam 5.31 petang tadi. - Foto Zaidi Mohamad

Nadzmi Adhwa, Ardell bernikah

SERI KEMBANGAN: Bermula dengan cinta dalam diam, jodoh akhirnya menyatukan pasangan pelakon, Ardell Aryana, 28, dengan Nadzmi Adhwa di sini, pada jam 5.31 petang tadi.

Pasangan ini melangsungkan pernikahan di kediaman keluarga Ardell atau nama penuhnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, di sini.

Dihadiri kira-kira 500 tetamu dan sanak saudara terdekat, pasangan ini dinikahkan Imam Masjid al-Mutaqqin Seri Kembangan, Ustaz Hafiza Hafiz.

Sah dengan sekali lafaz, Nadzmi atau nama penuhnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi menyerahkan mas kahwin RM300 dan hantaran senaskah al-Quran.

“Alhamdulillah, saya sudah khatam al-Quran yang diberikan Ardell. Dia menyerahkannya ketika bertandang ke rumah keluarga saya di Wangsa Melawati.

“Ketika itu, Ardell datang bersama keluarganya. Perjumpaan itu umpama majlis merisik sesama kami dan keluarga.

“Tiada majlis pertunangan. Sebaliknya, hanya ada majlis khatam al-Quran dianjurkan keluarga saya, Jumaat lalu. Naskhah al-Quran yang sama, selepas khatam dan difahami tafsir dan maksudnya, diserahkan kembali pada hari pernikahan ini,” kata Nadzmi sebaik majlis akad nikah berakhir.

Pada majlis pernikahan itu, pasangan mempelai berbalas dua dulang hantaran.

Akui Nadzmi, dia dan Ardell rapat sejak lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka bertambah erat kira-kira empat tahun lalu selepas berlakon dalam drama Namaku Bedah.


Nadzmi dan Ardell dinikahkan Imam Masjid al-Mutaqqin Seri Kembangan, Ustaz Hafiza Hafiz. - NSTP/Aziah Azmee

“Selama ini, kami selesa menggunakan istilah sahabat. Ketika itu, kalau ada jodoh, adalah. Selama ini pun, kami tak menolak andai ditakdirkan ada jodoh.

“Ramai yang mendoakan jodoh kami. Akhirnya dimakbul dan dipermudahkan doa peminat dan pengikut Instagram. Ternyata jodoh kuat antara kami selepas masing-masing bersedia melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.

Mengenai Ardell, Nadzmi menyifatkan isterinya itu sebagai insan yang sangat istimewa.

“Pada saya, dia insan terbaik pernah hadir dalam hidup. Dia sangat luar biasa. Saya belajar banyak benda dengannya.

“Daripada dia tak bertudung, hinggalah sekarang kami kongsi banyak benda dan masalah. Kami juga berkongsi minat sama bermain bola sepak dan futsal.

“Cara dia menunaikan tanggungjawab dengan menyara keluarga juga membuatkan saya kagum. Ardell kerja kuat untuk memberi kesenangan kepada keluarga.

“Malah, keserasian kami mencetus idea untuk menjalankan perniagaan tudung Alwadellhijab,” katanya yang pernah muncul dengan single Wanitaku berkisar perhubungan mereka.

Tambah Nadzmi lagi, dia dan isteri tidak menolak soal zuriat. Namun, mereka perlu bijak merancang termasuklah dalam soal berbulan madu kerana masing masing terikat dengan komitmen.

“Selepas nikah, dia (Ardell) akan terbabit dengan misi kemanusiaan di Syria. Saya akan muncul dengan filem Anak Perjanjian Syaitan, tidak lama lagi. Jadi, faktor masa cukup membataskan.

“Bagaimanapun, kalau dipermudahkan, kami tidak menolak rezeki menimang anak dengan cepat. Begitu juga dalam soal berbulan madu dengan hasrat menunaikan ibadat umrah bersama.

“Kami merancang membawa ibu Ardell. Kalau ibu bapa saya hendak ikut sama, kami terima dengan lapang dada,” katanya yang sedang menanti tayangan filem Safari Mall dan Busut Bonang.

Jika tiada aral melintang, pasangan mempelai ini merancang menganjurkan majlis resepsi, tidak lama lagi.

Berita Harian X