Selasa, 3 September 2019 | 9:00am
AINA bersyukur populariti Sumpah membuka pintu rezekinya dalam bidang nyanyian. Foto Syarafiq Abd Samad

Bertahun tunggu untuk sampai tahap ini - Aina Abdul

KUALA LUMPUR: Pelbagai cabaran yang dilalui untuk memperkenalkan bakatnya membuatkan penyanyi, Aina Abdul bersyukur dengan setiap peluang yang diperoleh.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sumpah itu berkata, dia menjadi emosi setiap kali mengingatkan perjalanan yang ditempuhinya.

“Saya ambil masa yang lama sebelum umum menyedari kehadiran saya dalam industri muzik. Saya tetap teruskan perjuangan dan bertahan, biarpun ia tidak mudah seperti yang disangkakan.

“Selalu saya ingatkan diri, bukan hanya saya yang terpaksa berjuang untuk teruskan hidup. Semangat itu membuat saya bangkit mengejar impian dan berusaha keras menggapai cita-cita,” katanya.

Bakat berusia 26 tahun yang dicungkil menerusi program realiti, Mentor Legend 2014 itu berkata, dia pasti sebak setiap kali menyanyikan lagu Survivor yang dipopularkan Destiny’s Child.

Dalam rakaman terbaru yang dimuat naik menerusi YouTube, beberapa hari lalu, anak didik Ratu Rock, Ella itu gagal mengawal emosi ketika menyanyikan lagu itu.

“Saya menitiskan air mata kerana terkenang cabaran yang ditempuh untuk bertapak dalam industri muzik. Terlalu banyak perkara sukar yang saya harungi sebelum mengecap kemanisan.

“Namun, apabila difikirkan semula, cabaran itu sebenarnya yang membentuk saya menjadi kuat seperti hari ini,” katanya.

Aina yang juga finalis Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu berkata, pencapaian yang diraihnya itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Saya ingin berterima kasih kepada kelab peminat, Ainations yang sentiasa memberikan sokongan. Saya anggap diri seperti masih bermimpi kerana tidak pernah saya terfikir dapat berada pada tahap ini.

“Peluang ini menjadi catatan indah dalam portfolio seni saya. Jika ada rezeki menang, saya anggap ia sebagai bonus, tambahan pula saya masih hijau dalam bidang seni,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X