Selasa, 3 September 2019 | 11:00am
BIARPUN pernah dipujuk kembali ke kampung, Shima bertekad untuk terus mencari rezeki di ibu negara. Foto Mohd Fadli Hamzah

Shima tak sanggup balik kampung susahkan keluarga

PUTRAJAYA: Penyanyi, Shima mengakui, keluarganya pernah mengajak dia kembali ke kampung selepas melihat kehidupan dan keadaan kesihatannya yang tidak menentu.

Shima, 50, bagaimanapun, bertekad untuk terus mencari rezeki di Kuala Lumpur kerana tidak mahu lagi menyusahkan keluarga.

“Emak memang mahu saya balik kampung, sekurang-kurangnya ada yang boleh tengokkan apabila saya tidak sihat. Sebagai ibu, tentu dia bimbangkan kesihatan saya yang ada kalanya susah mahu bergerak tanpa bantuan suami.

“Saya bagaimanapun, tidak mahu lagi menyusahkan emak dan adik-beradik lain. Mereka sudah banyak berkorban, apatah lagi emak semakin berusia.

“Memikirkan saya masih boleh mencari rezeki dalam bidang nyanyian, saya pujuk emak memberikan restu. Saya juga minta dia selalu mendoakan kesejahteraan saya dan suami,” katanya.

Pemilik nama Ku Nazhatul Shima Kamarazzaman itu berkata, setakat ini, dia masih menerima tawaran nyanyian, malah selalu berdoa diberikan kekuatan dan semangat meneruskan langkah dalam bidang yang diminatinya.

Shima ditemui pada majlis penyerahan kunci unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, di sini, baru-baru ini.

Penyanyi Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki itu ialah antara barisan selebriti terawal yang bakal menghuni kediaman di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Harapan.

Julai lalu, Shima yang dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), menyuarakan hasrat mendiami PPR kerana tidak mampu membayar sewa pangsapuri RM600 sebulan.

Penyanyi itu menghidap pelbagai penyakit, termasuk saraf tulang belakang yang membataskan pergerakan, selain masalah pundi kencing.

Suaminya, Abdullah Rosli, 42, turut berhadapan penyakit serupa hingga tidak dapat bekerja dan melakukan tugasan berat kesan kemalangan, beberapa tahun lalu.

Berita Harian X