Jumaat, 6 September 2019 | 11:00am
SAM tetap menegur isterinya jika tingkah laku wanita itu tidak manis dipandang mata. Foto IG Shaheizy Sam

Memang dia suka gurau kasar - Shaheizy Sam

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam mengakui, tingkah laku isterinya yang kasar sering menimbulkan perasan kurang senang segelintir pihak, malah ada yang beranggapan Syatilla Melvin seperti tidak menghormatinya sebagai suami.

Sam atau nama penuhnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 37, berkata ia hanya pandangan individu yang tidak mengenali perwatakan sebenar isterinya, sedangkan mereka saling menghormati antara satu sama lain.

“Mungkin mereka kurang senang dengan karakter Syatilla yang agak gila-gila dan kasar, sedangkan itu adalah karakter sebenarnya. Bukan hanya Syatilla, adik-beradiknya yang lain juga mempunyai perwatakan sama.

“Pada awal pernikahan kami, saya agak terkejut melihat cara gurauan keluarganya yang agak kasar. Tetapi, itu sebenarnya yang membuatkan mereka istimewa. Lama-kelamaan, saya mula faham dan perkara itu tidak pernah menjadi isu antara kami.

“Saya juga selalu bergurau kasar dengan Syatilla. Memang ada ketika, caranya lebih kasar, tetapi dia tetap hormat saya sebagai suami. Saya tidak terasa hati kerana sudah mengenalinya luar dan dalam,” katanya.

Sebelum ini, beberapa rakaman video Syatilla yang dimuat naik di Instagram sering menjadi bualan warganet kerana dianggap terlalu kasar, biarpun ketika bergurau dengan suaminya.

Caranya itu mengundang perasaan kurang senang segelintir pihak, malah ada yang menganggap dia tidak menghormati Sam sebagai suami.

Meskipun terbuka dengan sikap isterinya, Sam berkata, dia pasti menegur Syatilla jika tingkah lakunya itu tidak manis pada pandangan mata orang luar.

“Mestilah saya tegur jika caranya tidak kena dengan keadaan. Tetapi, tidak selalu kerana Syatilla tahu menjaga batasan sebagai isteri. Dia tahu dan menghormati kedudukan saya sebagai ketua rumah tangga.

“Saya pula menganggapnya sebagai pelawak yang sedang membuat persembahan di pentas. Dia begitu spontan apabila berbicara dan pandai menyuntik elemen lucu.

“Cuma, biasalah manusia, penilaian kita tidak sama. Itu cara Syatilla menunjukkan kemesraan dengan mereka yang rapat. Tetapi, tidak pada orang luar yang mungkin menganggap, caranya itu kurang sopan,” katanya.

Berita Harian X