Jumaat, 6 September 2019 | 3:30pm
AKIM akan turut menghangatkan segmen persembahan pada malam kemuncak ABPBH 32 di PICC pada 22 September ini. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Lagu Sudirman imbau kenangan cinta bapa, arwah ibu Akim

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Akim Ahmad, mengimbau kenangan manis era percintaan bapa dan arwah ibunya dengan menyanyikan lagu, Milik Siapakah Gadis Ini, yang dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Akim berkata, bapanya, Ahmad Suleiman, secara rawak meminta dirinya menyanyikan semula lagu kegemaran arwah ibunya itu.

Vokalis Akim & The Majistret itu turut berkongsi, lagu yang diterbitkan 33 tahun lalu terbabit memberikan seribu erti buat kedua-dua orang tuanya.

“Ayah saya terdengar lagu ini dan menghantar mesej meminta saya untuk menyanyikannya mengikut versi saya sendiri. Arwah ibu pula memang meminati penyanyi legenda negara itu. Mungkin juga ayah terkenang arwah ibu apabila mendengar lagu terbabit. Malah, saya sendiri dapat berasakan kemanisan lagu itu apabila menghayatinya.

“Era percintaan mereka sangat menarik. Pastinya mereka berdepan cabaran tersendiri, seperti jarak yang memisahkan. Ayah tinggal di Johor Bahru, manakala arwah ibu pula di Pontian.

“Ketika itu pula, belum ada kemudahan alat komunikasi canggih seperti sekarang. Jarak antara mereka agak jauh, iaitu lebih kurang sejam setengah perjalanan,” katanya kepada BH Online.

Video nyanyian Akim, yang akan turut menghangatkan segmen persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September ini, dimuat naik menerusi akaun #OneTakeCoustic di YouTube, yang dicetuskan olehnya bersama Freddy Ady Putra dan Stacy.

Sejajar arus teknologi, saluran terbabit merangkumi 15 lagu, yang bakal berakhir pada minggu hadapan. Musim kedua saluran #OneTakeCoustic dijangka bakal bermula pada Oktober depan.

Ditubuhkan pada 2014, Akim & The Majistret turut dianggotai Wan selaku pemain dram, Freddy (gitar utama), Gjie (gitar kedua), Zimi (gitar ketiga), Fairuz (bes), Afiez (keyboard) dan Rajwan (dram digital).

Mereka mula bertapak menerusi single Mewangi pada 2014 dan melakar kejayaan membanggakan, termasuk dinobatkan sebagai Juara Lagu dan Persembahan Terbaik menerusi lagu, Potret, pada Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL 30).

Berita Harian X