Ahad, 8 September 2019 | 5:14pm
KEMUNCULAN di pentas ABPBH, tahun lalu membuka pelbagai peluang manis buat Masya Masyitah. Foto Nurul Shafina Jemenon

Masya Masyitah ingin tembusi pasaran muzik China

KUALA LUMPUR: Mengorak langkah selepas menyertai program realiti ketika usia kanak-kanak, penyanyi baharu, Masya Masyitah masih menanti magis untuk mengukir nama sebagai bintang.

Pernah menghasilkan tiga single dan terbaru Halimunan, Masya, 19, yang juga juara Ceria Popstar musim kedua mengakui, namanya masih belum berada pada kedudukan selesa.

“Saya belum menggenggam sepenuhnya segala impian yang terpendam di hati. Meskipun mula menyanyi sejak kecil, nama saya hanya lebih dikenali selepas meningkat remaja.

“Dua single terdahulu iaitu, Teman Bintang dan Mawar Terbiar, belum mampu melonjakkan nama saya sebaris penyanyi popular lain. Alhamdulillah, kepercayaan membuat persembahan bersama Sufian Suhaimi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), tahun lalu, memberi impak besar.

“Perlahan-lahan bakat saya diperhatikan. Lebih manis apabila single ketiga, Halimunan mula diterima ramai. Video muzik lagu itu juga sudah mencatat lebih tiga juta tontonan, sejak dikongsi tahun lalu,” katanya.

Masya atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff yang memiliki kemahiran bertutur dan menyanyi dalam bahasa Mandarin, turut menyimpan impian menembusi pasaran muzik China.

Peluang itu mula terbuka apabila dipilih berduet dengan penyanyi, Lee Pei Ling menyampaikan lagu tema sempena Sambutan 40 Tahun Persahabatan Malaysia dan China, baru-baru ini.

“Lagu berjudul Zuo Jian yang bermaksud Bahu Kiri itu dinyanyikan dalam dua versi, Melayu dan Cina. Saya juga berlakon dalam drama pendek, Hadiah Kuasa yang menjalani penggambaran di Beijing.

“Ia disiarkan sebuah saluran berbayar, April lalu dan saya melihatnya sebagai peluang keemasan yang tidak mampu ditolak,” katanya yang pernah merangkul gelaran naib juara Pertandingan Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong pada 2016.

Masya berkata, dia tidak kisah jika ada pihak yang meragui kemampuannya. Bukan mahu memperlekehkan industri muzik tempatan, Masya sebaliknya berkata, kemampuan bertutur dalam bahasa Mandarin membuatkan dia berani mengambil langkah itu.

“Saya sedar, ia bukan sesuatu yang mudah. Pada Mei lalu, saya sepatutnya menyertai sebuah pertandingan di sana, namun terpaksa dibatalkan kerana penganjur tidak menerima peserta bertudung.

“Saya tidak terkilan, biarpun sudah membuat persediaan. Mungkin belum rezeki,” katanya yang terlebih dahulu menyertai uji bakat pertandingan itu di Beijing.

Selepas beberapa tahun berjuang, Masya berkata, dia bagaikan melihat ada sinar di hujung terowong apabila namanya membolosi Top 5, Artis Baharu Wanita Popular, ABPBH 32.

“Tuhan tidak mengizinkan saya menyertai pertandingan nyanyian di China, tetapi memberikan saya rezeki membolosi senarai lima popular ABPBH 32. Saya anggap ia sebagai rezeki terpijak.

“Saya melihat persaingan daripada nama popular seperti Sarah Suhairi, Aina Abdul, Amelia Henderson dan Haneesya Hanee sebagai sesuatu yang sihat.

“Satu demi satu tuah menyebelahi selepas saya muncul di pentas ABPBH tahun lalu,” katanya yang masih menunggu karya terbaik untuk dijadikan single terbaru.

Berita Harian X